Tiada bunga api
siapkan keropok dan bancuh teh
alat kawalan jauh di celah sofa
klik—lantai bergetar,
nafas semalam masuk dari bukaan
Pengacara tanya jika saya sudah bersedia yang mana saya angguk tanpa teragak dan dia tanya untuk kali kedua yang mana saya angguk—
Imbasan usia muncul
Kosong+ – saya tidak menangis sewaktu tiba di dunia (mereka risau saya tidak bernyawa) dan kemudian jururawat tampar, cubit anggota badan dan saya menangis kesakitan
Yang saya bingung sebab saya tidak rasa usia sebegitu tahu terjemah rasa sakit
Satu – ibu dan ayah solekkan saya dan kemudian ikat rambut saya dengan dua tocang di belakang sebelum ambil gambar saya dengan tangan memegang ganggang telefon rumah
Mereka terhibur, saya rasa bangga (seolah penghibur natural) dengan diri waktu itu
Enam – rasa dikhianati apabila pandang ke luar tingkap tadika dan ibu sudah tiada
Cikgu kata ibu pergi ke kerja ketika saya leka bermain—itu waktu saya sedar betapa pedih untuk ditinggalkan tanpa tanda / ucap selamat tinggal
Tujuh – selepas berbaris di dataran perhimpunan, saya terpaku dengar lagu sekolah untuk pertama kali
Betapa mereka di sini semua tahu untuk hafal lagu yang tidak pernah dimainkan dalam radio kebiasaan
Sembilan – mula rasa tak selesa apabila rama-rama (atau tidak, saya rasa ia seperti mentadak yang jadikan jantung saya sebagai beg tinju) dalam tubuh jadi gila apabila bertemu A di sekolah agama
Bergelut simpan rasa itu dengan buli dan sakat A—fikir balik, ia cukup jelas
Dua belas – 5A dan saya mula tahu nilai gembira dari ibu dan ayah
Tertanya tentang rakan lain yang sibuk dengan sekolah apa yang cocok buat mereka selepas ini / saya kena fikir juga?
Antara rendah dan menengah
muncul jeda, seperti kabus yang datang
luruh berubah ke salji
entah,
hanya dalam kepala
(tidak pernah alami 4 musim)
Tiga belas – muka baru dalam radar penglihatan dan saya tidak tahu bagaimana untuk mulakan kehidupan kembali
Betapa ramai kaum lain di sekolah ini, saya fikir soal bahasa – kata dan jenaka saya akan ke sampai ke mereka?
Empat belas – kawan yang saya kenal (sama sekolah rendah, dan bagaimana kami boleh bersama di sekolah menengah yang sama sekarang?) berjaya untuk ke MRSM
Sedar yang saya kena buka dunia untuk kekal selamat dalam industri menjadi remaja — demi nampak cool, bersahabat dengan kawan yang kecoh tentang berapa banyak pergaduhan yang mereka sertai luar sekolah
Lima belas – syukur ditukar ke kelas bahasa Arab (tidak turut serta ambil bahasa tersebut tetapi duduk bersama mereka yang ambil) dan kenal beberapa kawan baru yang tahu untuk mendengar
Atau hanya saya yang baru tahu untuk bersuara?
Menjadi remaja adalah gerak jari
yang sentiasa sedia ikat tali kasut
mata tajam mengarah dinding
untuk ditumbuk kuat dengan bukulima
“ada dunia baru,” oh mana?
“sebelah sana,” kata semua makhluk
mereka tinggal dalam tubuh
(pembuluh darah saya selalu terasa gatal)
demi semangat yang jelir lidah
mengejek dari depan
Enam belas – pindah asrama penuh, guna nama samaran baru (bikin sistem nama samaran ikut kod: x untuk yang kenal dari sekolah rendah, y untuk yang kenal dari sekolah sebelum, z untuk yang semasa)
Timbalan ketua pengawas sekolah calonkan saya sebagai setiausaha badan pengawas—kerja-kerja mendengar dan mencatat: permulaan mengenal dunia / fakta dalam teks boleh digubah
Tujuh belas – bergaduh dengan kawan kelas waktu prep sebelum SPM
Tidak pasti tentang apa tetapi dia tidak mengelak sewaktu saya tarik kolar bajunya rapat ke penumbuk kanan—lepaskan genggaman dan tiada apa yang berlaku selepas itu (dengar sel badan saya yang gelak kepada diri sendiri)
Lapan belas – tidak nampak bebas seperti apa yang mereka kecohkan sebelum SPM
Mula dengar Minor Threat, Verse, Comeback Kid, Second Combat: janji dengan diri sendiri untuk hidup dalam lurus dan sihat (meski tak pernah pangkah X atas penumbuk)
Sembilan belas – universiti boleh tahan aneh, orang di sini tidak matang seperti yang saya pernah gambarkan dalam kepala sebelum
Tetap kagum dengan keramahan setiap orang di kampus, tenaga mereka ini buatkan bumi tidak nampak tua pada mata saya
20, 21, 22, 23, 24 – lupa, lupa, lupa.
Pengacara tepuk bahu
keropok tidak habis
minuman sedia sejuk,
(suku teh tumpah di karpet bawah)
pengacara buat muka:
"oh demi tuhan
kau sentiasa tertidur
menonton hal-hal
yang bosan……………………………………
25,"