Saya takut tidur bersendirian. Orang tua saya akan ambil giliran untuk temani saya tidur di bilik. Mereka akan bentang toto di sebelah tilam saya dan tidur – mungkin pura-pura, saya tahu ayah olokkan dengkurnya – sebelum saya yakin dengan persekitaran saya cukup terjamin, barulah saya akan tutup mata. 30 minit paling kurang. Orang tua saya akan pastikan saya sudah sedia lena sebelum keluar dan kembali ke bilik mereka. Adakala ia tidak jadi mudah sebegitu. Kepala saya tahu untuk kumpul segala cerita dan urusan silam yang tidak selesai – bagaimana saya jadi punca kekalahan pasukan bola sepak kelas ketika waktu PJK tadi, bagaimana saya tidak berani ucap hai kepada gadis yang saya minat sedangkan dia duduk betul-betul di meja depan saya, bagaimana saya tidak tumbuk senior yang saya jelek sebab dia kecilkan seluarnya dengan jahitan benang yang warnanya tidak sama dengan warna seluar – dan saya akan berjaga untuk pastikan ralat kelajuan kipas siling saya yang sentiasa tidak konsisten – takah 3 dan ia berputar seperti 5, atau 4 tetapi berputar dalam kelajuan 1 – dalam kiraan piawai satu, dua, dua-satu, dua-dua, tiga, tiga-satu, tiga-dua, tiga-tiga, empat, dan seterusnya. Di antara kiraan, akan ada suara yang ajak saya untuk keluar dari bilik dan bermain seret kaki dengannya. Peraturan: siapa seret dengan bunyi yang kuat dan panjang akan menang. Tetapi saya tidak mahu turut serta. A, saya kena selinap melangkah di antara kaki orang tua saya. B, saya perlu pusingkan tombol dan buka pintu dengan bunyi engsel yang boleh tercabut bila-bila masa. C, saya tahu ini semua satu dusta dan sesiapa pun yang ajak saya tersebut tidak wujud. Skizofrenia skala kecil mungkin. Saya ada google tentangnya dan katakan ia hal normal bagi kanak-kanak membesar. Tetapi ia tidak menyenangkan – saya buat muka tidak kagum ketika baca artikel tentangnya di internet dial-up yang lembab – dan suara itu tidak mahu kalah. Itu buatkan saya terpaksa pautkan kekuatan kepada bantal kegemaran saya yang sentiasa faham dengan degup jantung saya. Ia kira dup-dap, dup-dap, dup-dup-dap, ddd, dap-dup, dap, dan kami ketawa ketika ia katakan saya kena belajar untuk tenang sebelum tidur. “Kopi?” Dia tanya. Saya geleng sebelum dia berceramah tentang bagaimana kafein akan buatkan jantung berdegup lebih laju. Saya tidak tahu ia benar atau tidak tetapi untuk saya yang tiada kawan lain di atas katil ketika itu, hanya angguk mendengar. Saya pernah minta bantal untuk pergi bermain dengan suara luar bilik tetapi kemudiannya ia jadi bantal kembali; tidak respon, tidak bergerak meski saya angkat dan campakkan ke bahagian bawah katil. Bantal tidak boleh diharap. Seperti saya yang tidak boleh diharap. Itu apa yang suara di luar kata, juga apa yang orang tua saya bualkan ketika awal pagi sebelum saya pergi ke sekolah. Saya buat muka dan bisik dalam hati apa yang mereka harapkan dari seorang manusia yang baru 10 tahun hidup? Mereka lebih tidak boleh diharap tetapi saya tidak katakan itu. Atas dasar hormat dan bagaimana untuk menjadi ibubapa adalah untuk letakkan anak dalam jangkaan yang tidak masuk akal. Saya seorang yang memahami. Dan disebabkan saya faham, saya lihat jam di dinding. Ia minit ke 28 dan saya perlu tidur sebelum ditinggalkan oleh orang tua saya sendiri. Siapa tahu, mungkin mereka yang akan turut serta bermain dengan suara tadi.