i
Apabila matahari terbenam saya akan bertemu dengan diri saya yang lama. Jemputannya dalam bentuk emel. Saya sedang tenung skrin menantikan sesuatu. Satu picit F5 dan teks tepi berubah dari inbox ke inbox(1). Dari alamat emel yang sama—jika ingatan saya tidak silap—digunakan untuk akaun Myspace dalam 5 atau 7 tahun lepas. Isinya pula cukup terus-terang walaupun ayat yang digunakan agak meleret. Waktu itu saya masih seorang yang ramah. Kata-kata bukan not ringgit. Saya tiada masalah untuk membazir.
ii.
Saya cuba cari tempat berjumpa yang jauh. Hanya sebab saya tidak mahu dia tahu saya sedang menetap di mana sekarang ini. 5 atau 7 tahun lepas, saya masih berada di taman lama. Rumah hujung lot yang di sebelahnya terdapat semak. Dari semak tersebut, ada laluan kecil yang terus menghala ke taman permainan. Saya tidak tahu kenapa kami—saya dan rakan jiran waktu itu—panggilnya sebagai taman permainan sebab tiada apa yang ada di sana untuk bermain. Hanya sebentang padang yang luas dengan tindihan tayar-tayar lori yang bertakung dengan air.
iii
Saya putuskan untuk bertemu di taman permainan itu. Duduk di salah satu bangku dan tonton kelekatu bermain di atas pada mentol lampu jalan. Beberapa minit kemudian dia muncul dengan tshirt hijau lama yang dibeli di Sungei Wang Plaza. Sekarang saya sudah bungkusnya bersama pakaian lain yang tidak muat untuk dipakai. Oh tuhan. Harap dia tidak kritik dirinya yang semakin gemuk sekarang ini.
iv
Dia minta saya untuk berjanji sesuatu: Suatu hari nanti dia akan jadi dewasa dan pastikan saya melihatnya dari jauh. Seperti dalam emel, saya tidak tahu bagaimana untuk respon dengan permintaan itu. Hanya katakan, bro aku tidak boleh melompat masa seperti kau. Dia buat muka dan tendang salah satu tayar lori. Ia terjatuh bergolek dan masuk ke parit perimeter taman permainan.
v.
Mujur ada kafe baru di lot kedai depan di taman lampau ini. Saya bawanya bersama dan belanja kopi. Ini minuman hip pada masa depan, saya kata dan gelakkan diri sendiri. Dia tidak kagum. Matanya berair sebelum angkat jari hantu dan tunjukkan tepat ke muka saya. Tidak sangka saya yang muda berperangai begitu. Hey aku ialah kau, saya kata, kau kena berdamai dengan diri kau sendiri sebelum kau ada impian untuk jadi dewasa!
// ekstra //
vi.
Atas rasa bersalah saya buka emel dan balas. Saya letak emotikon senyum pada ruang tajuk. Tiada idea untuk tulis apa. Terus kepada isi: Kenapa kau mahukan aku untuk lihat kau waktu kau dewasa? Sedangkan aku sudah pandang ke cermin berkali-kali tadi, dan demi tuhan tiada apa yang menarik dengan kau yang dewasa.
vii.
Waktu semak pagi tadi, emel tersebut sudah tiada. Apa yang tinggal hanya butang F5 yang lebih rendah berbanding butang lain di papan kekunci. Dan jawapan permohonan kerja yang tidak muncul-muncul.