Juni berhenti sambut raya 2 tahun lepas. Pada malam ambang 1 syawal. Takdir temukan mata Juni untuk tatap bangkai Mimi – betul-betul berdepan – di anjung rumah nenek. Digilis Ford klasik sepupunya, Maria yang keluar dari kereta waktu itu, tarik rambut ke belakang bahu lalu ucap ke semua yang sedang bermain bunga api di depan, Eid Mubarak!
Kejadian itu betul-betul beri kesan, kata Maria. Saya sedang hisap rokok bersama Man di luar pintu belakang rumah nenek. Tidak tahu sama ada dia sengaja ingin teman kami dua atau mengelak Juni yang berada di dalam. Saya sukat wajahnya. Dia rasa bersalah. Bermula dengan rungut tidak sengaja hinggalah ke suatu benda yang lebih. Sebuah gambaran besar yang dia ingin tahu. “Kalau Juni ada kejadian tentang semangat rayanya yang hilang,” dia tanya, “bagaimana dengan orang lain yang katakan raya sewaktu dewasa bukanlah raya lagi?”
Man dengar soalan tersebut dan nyalakan lagi sebatang kretek – ini kali pertama saya perasan sebab waktu saya hisap dulu dia perli saya dengan gelaran wak – sambil tenung kesan rendang di lantai simen bawah. Sepatah ‘entah’ dan matanya beralih ke arah saya. Maria ikut arah matanya. Saya cuba elak dengan bunyi hm dari tekak. Mereka tidak terkesan.
Sebagai sepupu yang paling sulung, automatik hati beritahu ini adalah tugas saya. Untuk cari sesuatu dan dapatkan jawapan Maria. Juga untuk bawa kembali semangat raya Juni kembali ke jiwanya. Saya tidak pasti bagaimana semangat perlu dimunculkan kembali. Saya tidak rasa ia akan hadir sepertimana raya sebelum kematian Mimi. Adakah saya kena korbankan semangat orang lain – dalam kepala hanya ada nama Maria yang jadi punca kepada semua ini – lalu masukkan dalam beg plastik dan tiup ke tubuh Juni melalui lubang telinganya.
Saya masukkan kotak rokok dalam poket dan masuk ke dalam. Telinga saya boleh dengar ucap selamat dari mereka berdua dalam senyap. Di ruang tamu, Juni sedang duduk bersama yang lain. Berjemaah tonton sebuah rancangan komedi raya. Pakcik dan makcik paling galak demi sambut punchline jenaka dari tv. Sepupu kecil yang lain sedang main tutup botol. Juni sedang duduk bersila dengan badan bersandar di dinding belakang.
“Kau kenangkan Mimi?” Saya tanya. Duduk bersila di sebelahnya menghadap tv.
Dia geleng sekali. Angguk pun sekali. Kemudian geleng sekali, sekali lagi. Sebuah gestur komunikasi yang kusut, saya fikir. Tetapi saya faham jika dibanding dengan kasih Juni kepada Mimi. Mana tidaknya. Mimi asalnya anak kepada kucing jalanan yang rajin bertandang di rumah nenek. Waktu saya balik melawat, kucing jalanan putih tompok oren tersebut sering duduk di kerusi meja makan kegemaran saya. ia terletak betul-betul hujung berdekatan tempat air panas akan dihidang. Selalunya, jika Juni tidak ada, saya akan halaunya dari situ.
Hinggalah suatu hari, saya perasan dia tidak ada di kerusi tersebut meski bauan felin masih ada. Atas prihatin, saya lihat celah-celah rak dan almari dapur. Di bawah rak pinggan tidak terpakai, mata saya jelas, seekor bayi kucing sedang tidur dengan tali pusatnya.
Itu permulaan bagaimana kasih Juni kepada Mimi terbit. Tahu tentang bagaimana kucing yang ditinggalkan ibunya selepas lahir akan ada fading syndrome dan peratusannya untuk hidup sangat rendah? Juni seolah magis yang muncul pada lewat malam sebalik awan, belikan susu bayi kucing dari kedai haiwan perliharaan di lot kedai atas, dan belanya sedari kecil. Saya tidak pernah bela kucing tetapi saya tahu ia tanggungjawab yang besar. Juni bukan seorang yang selalu ada di kampung tetapi hanya untuk pastikan Mimi kekal hidup, dia memilih untuk tinggal di kampung sebulan. Waktu itu saya ingat bagaimana mak dan ayahnya rasa aneh dengan permintaan Juni tersebut.
Dia dapat izin dan bela bayi kucing tersebut dengan cermat. Juni kata jika bayi kucing boleh lalui empat minggu pertama selepas lahir, itu tandanya akan hidup selamat. 4 minggu dengan cabaran. Juni perlu beri susu – dengan picagari lubang depan yang dibeli sekali di kedai haiwan perliharaan tadi – ke Mimi dua atau tiga jam sekali. Selepas beri minum, 5 minit selepas dia akan ambil kain, basahkan dan usap kemaluan kucing tersebut. “Bayi kucing tidak tahu untuk buang air,” dia kata, matanya sinar ala bola kristal, “jadi ibu kucing akan jilat bontotnya hingga bayi kucing buang air.” Juni gunakan kain basah tersebut untuk merangsang perkumuhan bayi kucing tadi.
Ia tidak berhenti di situ.
Apa yang sukar adalah untuk pastikan suhu sekeliling supaya ramah dengan tubuh kucing tersebut. Disebabkan Mimi dilahirkan tunggal, maka dia tiada adik beradik berbulu yang lain untuk tidur bersama dan berkongsi haba. Juni akan ambil alih tugas ini. Dia akan pasang muzik pada tab Samsungnya, tutup bunyi, sambung ke pengecas – untuk pastikan ia kekal panas. Kemudian dia ambil kain kering dan tutup tab tadi. Letakkan dalam kotak bayi kucing.
Pengorbanan yang murni dari Juni, saya fikir.
Empat bulan berlalu dan Mimi hidup sihat. Waktu itu Mimi sudah boleh makan makanan tin. Juni tidak perlu dengan rutin susu, usap kemaluan, dan tablet pemanas lagi. Ia adalah sinar kehidupan yang baru buat Mimi, dan sudah tentu, untuk Juni.
“Maria tak sengaja.” Saya bisik.
Juni tidak beri respon.
“Kalau kau nak,” saya cuba sekali lagi, “kita boleh cari anak kucing lain.”
Juni mengeluh sebelum kata, “Mimi tak boleh diganti.”
Saya angguk setuju walau rasa leceh dengan segala benda ini. Untuk ada kucing tersayang sama juga seperti punya seorang manusia sebagai kekasih tersayang. Suatu hari mereka semua akan pergi. Jika bukan sebab soal curang atau lupa, mereka akan mati. Ia benda yang pasti untuk lalui benda bernama kehidupan. Hanya masa masing-masing yang berbeza. Tetapi saya tidak boleh kata ini semua ke Juni. Tidak mahu letakkan garam pada lukanya, apatah lagi untuk lewakan memori ikatannya tersebut. Sebagai sepupu sulung, saya kena lakukan ini dengan sehalus yang mungkin. Mungkin tidak dapat bawakan semangat raya yang sama kepada Juni tetapi—
“Maria mintak tolong kau pujuk aku?” Dia tanya.
“Kau rasa?”
“Aku tak marah dekat dia atau apa.”
“Dah tu kenapa kau macam tak seronok macam raya sebelum?”
Dia buat muka, “maksud kau?”
“Sebab kitorang perasan lepas Mimi mati, raya kau macam tamat.”
“Raya aku tamat.” Dia bisik sebelum ulang perkataan itu berkali. Nada suara makin perlahan. Muka seolah bingung dengan apa yang saya mulakan. Juga saya yang sekarang ini bingung ke mana perbualan ini akan bawa kami.
Saya tidak ada pengalaman merasa bagaimana raya tamat. Atau, jika ada, barangkali saya lebih tertanya bila raya tidak tamat? Rasional: Perayaan adalah musim dan tempoh dengan makna. Makna pula bukan benda konkrit sebab kita takrif segala urusan dalam hidup dengan idea masing-masing. Jadi jika ada budak 10 tahun yang katakan makna raya adalah koleksi duit, dan dia bangun suatu hari berusia 27 tahun, sudah tentu makna itu tidak relevan. Mereka yang mampu raikan semangat raya dengan lebih berkesan adalah mereka yang dambakan erti lebih dalam. Sesuatu yang spiritual. Menguatkan ikatan, bersihkan rasa bersalah dari dosa terhadap yang lain, mencintai kucing yang dibela dari kecil?
Kami dua duduk senyap dalam 10 minit. Maria muncul dari dapur ke bahagian ruang tamu dan turut serta. Dia beritahu Man keluar pergi 7E dengan motor. Saya tidak tanya terpaksa angguk terima. Dia cuba sesuaikan diri dari udara tidak senang Juni dan dirinya.
Kami tiga duduk senyap, lagi, dalam 15 minit. Komedi di tv sudah tamat. Siaran bertukar ke rancangan hos selebriti tempatan. Bertukar-tukar soalan tentang pengalaman puasa, persiapan raya, kenangan raya, dan lain-lain. Benda ini sentiasa wujud cuma set penggambaran dan wajah selebriti yang bertukar dalam tv.
Maria: Kenapa raya tamat? Ke mana pergi semangat tu?
Saya: Mungkin sebab kita dah lalui musim ini tiap tahun jadi…
Maria: Jadi kita dah lali dengan rasa tersebut.
Saya: Boleh jadi. You tahukan macam mana benda best selalunya kena catu? Macam ponteng kelas. You tak boleh ponteng tiap masa, hari-hari. Nanti kemanisan ponteng tadi hilang.
Maria: Jadi macam mana yang lain elok boleh beraya dari orang yang katakan raya dah tamat ni?
Saya: I tak pasti.
Maria: Artis jemputan kita lagi satu di sana senyap je? Kongsilah pendapat sekali! [ketawa]
Juni: [berpaling]
Set tiba-tiba berubah. Lapisan surat khabar dengan teks yang berkali ganda besar dari kebiasaan muncul di permukaan lantai. Dinding set sekeliling runtuh seperti prop teater dan menampakkan kasa dawai dengan grid petak kecil berulang-ulang. Krew produksi dan jurukamera dua orang berlari untuk selamatkan diri. Audiens yang lain tidak terkecuali cuma mereka seperti punya kuasa sihir – masing-masing berjaya tembus kasa dawai tersebut.
Hos, Maria. Artis satu, Saya. Artis dua, Juni. Kami berdiri dalam kaku. Beberapa saat sebelum, kami beralih ke arah suara sayup dari jauh yang ucap Eid Mubarak!
Juni: Raya dah tamat, miau.