Megat tidak tahu macam mana keberanian muncul. Ada yang kata ia datang dengan baju tunik dan pedang lebar. Ada kata ia datang dengan perkongsian konspirasi di media sosial. Ada kata ia datang dengan tshirt kuning templat dan jalan-jalan kota yang bingit. Mana-mana satu, Megat masih mencarinya di dua kerusi – satu tempat dia duduk dan lagi satu kosong – dan meja yang menyokong latte panasnya yang sudah separuh diminum.
Sebab Arisha, di belakang kaunter kafe, ada cahaya yang bertenggek di wajah.
Jadi Megat gigih untuk ke kafe tersebut untuk siasat cahaya tadi. Dia balik ke rumah dan tandakan pada X pada kalendar. Sekali untuk satu minggu, dia akan ke sana dan pesan minuman yang sama lagi dan lagi. Kewangannya bukan isu. Dia bijak untuk meminjam PTPTN dan tidak menggunakannya ketika belajar. Dia juga tidak mahu membayar. Ikut trend rebel, katanya.
Secawan latte panas, sepuluh ringgit, hadir di meja. Dia ucap terima kasih ke Arisha yang hidang. Tanpa pandang wajah kerana Megat takut cahaya tersebut perasan tujuan asalnya.
Arisha kawal senyum sebelum masuk ke dalam kedai. Terus ke belakang kaunter. Megat keluarkan buku nota dan tulis sajak. Ada sesuatu perlu dikarang dengan cepat sementara hangat. Dia susun kata-kata hingga menjadi sebuah sajak cinta, yang mana, dia tak rasa perasaannya kepada cahaya tersebut adalah cinta.
Dia bingung.
Maka Megat koyak halaman tersebut. Dia mahu lemparkan ke lantai laluan pejalan kaki di luar tetapi sebagai pencipta, dia masih tidak mahu sajaknya dipijak. Dia perlu besantun menafikan kata-katanya sendiri. Jadi dia selitkan kertas sajak itu di antara ranting pokok di dalam pasu sebelahnya. Kita kembali dari mana kita datang, dia bisik ke daun pokok tersebut.
Waktu yang sama Arisha sedang kebosanan tiada pelanggan. Dia keluar dari kaunter dan duduk di bahagian depan kafe. Sebelah pintu. Dia keluarkan beg dari bawah kerusi dan keluarkan buku dari beg. Megat yang kini betul-betul di sebelahnya lihat buku tesebut. Sesuatu dari Hemingway. Megat tak percaya mereka yang berehat sebentar dari kerja memilih untuk baca Hemingway. Arisha akan mati sesak nafas membaca Hemingway. Atau tertidur.
Tetapi Megat tahu, untuk buka pintu dan tegur Arisha perlukan keberanian. Keberanian yang tiada di celah zarah udara sekelilingnya. Macam mana keberanian muncul, dia fikir lagi. Kini dia dan Arisha sedang duduk bersebelahan. Dipisah dinding kaca yang nipis bertampal pelekat logo kafe hip.
Cahaya yang bertenggek di wajah Arisha seolah ada mata. Dia pandang nakal ke Megat yang tesipu sendiri. Jangan tegur, dia fikir. Dia angkat pensel lagi sekali dan tulis sajak tentang Arisha yang membaca Hemingway ketika berehat dari kerja. Sudah tentu, Arisha hanya ‘mu’ dalam sajak tersebut.
Sekali lagi, Megat selesaikan sajaknya dengan halaman yang dikoyak. Dilahirkan dari pensel, dimatikan ke pasu.
Arisha henti membaca dan masukkan buku ke beg, beg ke bawah kerusi. Cahaya wajahnya bergerak melepasi mentol yang terjuntai dari siling. Intensiti mereka serta merta kelam seolah menghormati cahaya wajah Arisha.
Megat yang perasan dengan ini serta merta beralih tempat ke kerusi bertentangan. Dari sudut itu, dia mampu lihat cahaya wajah Arisha dengan lebih teliti. Apa cahaya tersebut? Kenapa ia perlu bertenggek di wajah Arisha, yang entah perasan atau tak, dengan kehadiran cahaya itu di mukanya sendiri.
Arisha perlukan cermin, Megat fikir sebelum bangkit bersama buku nota dan masuk ke bahagian dalam kafe. Di bahagian dinding sebelah kiri ke belakang, ada sebuah cermin putus-putus yang disusun untuk membentuk hasil seni. Megat cuba untuk berjalan perlahan di depan Arisha yang sedang layan pelanggan di kaunter. Dia harap mata Arisha menurut geraknya hinggalah terpandang cermin.
Arisha berpaling untuk bancuh kopi. Megat gagal. Dia terus ke tandas untuk tidak kelihatan curiga. Dia turunkan penutup mangkuk tandas dan duduk mengira waktu. Mungkin seminit dua, dia fikir, waktu sesuai untuk keluar.
Arisha hidangkan kopi ke pelanggan dan kembali ke tempat membaca. Separuh langkah, dia perasan ada meja yang perlu dikemaskan di luar. Lalu dia buka pintu dan berdiri depan pelekat logo hip kafe. Dia buat muka waktu tatap cawan kopi separuh. Walaupun kafe tersebut bukan miliknya, dia tetap tidak suka mereka yang membazir. Dengan sedih dia ambil cawan tersebut dan betulkan posisi meja yang agak senget itu. Dia pandang bucu meja. Itu juga waktu dia perasan ada kertas di celahan ranting.
Dia letak kembali cawan dan duduk dan buka kertas tersebut.
Dua minit sudah selesai. Megat keluar dari tandas dan berjalan ke luar.
Arisha senyum membaca sajak.
Megat, di depan kaunter, pandang Arisha di luar.
Cahaya wajah Arisha semakin pekat.
Megat berpaling dan cepat-cepat keluar lalu pintu belakang.
Selepas itu, cahaya wajah Arisha hanya kekal sebagai milik ‘mu’ pada sajak yang dihidupkan kembali. Dari pasu ke dinding dalam kafe.