Ayumu sebelum Insta












Jurnal Penang, I: Ayumu kata lorong sepi seharusnya gelap penuh. Lampu pinggiran dan kerja seni sebagai deko buatkan ia dalam kesakitan.
Jul 31 2015 23:23:01

Jurnal Penang, II: Bila saya bangun tidur, Ayumu lebih awal keluar meninggalkan saya. Dia hanya tinggalkan gambar ini dengan nota 'Jangan tunggu, aku pergi jauh' atas meja.
Aug 01 2015 16:13:05

Jurnal Penang, III: Ayumu balik lewat malam dan terus ajak saya keluar. Kami makan di salah satu gerai di Lebuh Chulia. Saya beritahu Ayumu, pasangan mat saleh di meja sudut sana cukup sweet dengan gestur dan cara mereka berbual. Ayumu tak beri apa-apa respon sebelum pesan air suam satu dan tonton tivi yang tergantung di tiang. Mungkin dia malas, kau tahu, untuk memerhati dan berbual dalam ruang yang meriah adalah meletihkan.
Aug 02 2015 00:18:58

Jurnal Penang, IV: Saya bosan lalu ambil keputusan merokok di bahagian luar Herlodge (homestay kami) bersendiri. Ternyata rokok tak boleh hilangkan bosan itu. Saya keluar kamera dan picit merata - tangkap gambar objek pegun di sekeliling. Saya suka gambar lampu siling ini. Mungkin saya akan tunjuk ke Ayumu lepas mandi nanti.
Aug 02 2015 20:09:02

Jurnal Penang, V: Saya kata ke Ayumu yang Murakami pernah cakap dalam temuramahnya bahawa kita tak pernah bersendiri walaupun kita percaya kita bersendiri. Contohnya ada semut di rekahan dinding, atau burung di langit yang gelita. Ayumu buat muka lurus - 3 tahun kami berkawan, hanya hari ini saya tahu Ayumu tak layan Murakami.
Aug 04 2015 00:41:08

Jurnal Penang, VI: Saya jumpa Kafka di Sam's Bookstore Lebuh Chulia; rm89 untuk sewa seminggu. Abaikannya, saya teruskan berjalan melalui Jalan Penang ke Lebuh Tamil, bila dapat tahu ada kedai buku terpakai di tingkat 2 Pasar Chowrasta (ehsan reviu blog siapa entah). Empat buku, rm63. Oh dan saya hampir dilanggar oleh motorsikal ketika melintas. Sekali pandang, susuk belakang penunggang perempuan itu seakan Ayumu.
Aug 04 2015 20:20:48

Jurnal Penang, VII: Ahad dan saya perasan si alim sedang memasuki rumah ibadat mereka. Beberapa awam mula menyoal hubungan kami. Mungkin sebab saya dan Ayumu selalu keluar dan tinggal bersama. Ia tidak manis, saya tahu itu. Tetapi Ayumu hanya abaikan mereka. Saya setuju. Lagipun cinta satu pihak yang terlarang lebih mencabar - ala honeymoon awal gitu (walaupun kami tak tidur sama).
Aug 09 2015 17:14:04

Jurnal Penang, VIII: Saya sedang baca Chekhov di laman luar apabila Ayumu keluar dengan secawan kopi segera untuk berborak. Dia kata sepanjang dia bercuti, dia suka merasai kota ketika pukul 2 pagi ke atas. Rasa tersebut bermakna untuk keluar bersendiri dan lihat adegan sekeliling. Ada sesuatu yang menarik ketika waktu pasca-malam; gelandangan mula cari tempat untuk tidur, kereta-kereta mula tahu untuk langgar peraturan, anjing mula jadi liar, dll. Dia juga katakan yang dia seronok dengar bunyi shutter besi yang ditarik apabila gerai mula tamat beroperasi dan selesai mengemas, atau bau asap rokok awam yang sedang lepak beramai-ramai di gerai makan setelah separuh hari penat bekerja. Bunyi agak fetish tetapi syukur, paling kurang saya kenal lapisan baru dirinya lagi. 
Aug 11 2015 02:00:38

Jurnal Penang, IX: Semalam sebelum tidur, Ayumu nasihat saya untuk pilih mimpi sedih dan ngeri supaya bila saya terbangun, saya tahu realiti tidaklah secelaka mana. Saya bangkit dan terus mandi. Dengan nota-nota jurnal yang lain berterabur atas tilam, saya tidak tahu titik naratif penginapan saya di Pulau Pinang ini. Gambar terakhir dalam iPhone adalah dinding keras dengan projeksi cahaya maya. Ayumu sudah keluar lebih awal, kesan tilam tidurnya sudah sedia kemas. Terdesak, saya cuba bersiap pantas untuk keluar carinya. Ketika di depan cermin, palingan mata saya beritahu untuk abaikan niat tersebut. Selamat tinggal Ayumu, moga bertemu diri sendiri.
Aug 14 2015 15:29:22