telah ku tuliskan kau bencana itu lalu kau ketawa dan campakkan kertasku ketepi dan menarikku dekat, cukup dekat untuk berbisik sekali dengan ucap mesra sebelum aku mengelak dan berlanggar dengan pipimu, maka itu kali pertama aku jatuh curiga; siapa yang patut aku benci? pada dirimu atau pada rasa benciku ini sendiri? kerana kau terus tersenyum menerima wajahku yang berkerut memikir, matamu membuka seribu ruang di balik maya sana yang timbul berjuta twit di laman internet dan aku terlepas membacanya, aku terlepas untuk tahu tentang suara dan nyanyian sepi mereka, rungutan kecewa yang mendatar, bingit revolusi yang terkuat, rahsia-rahsia yang menipu, lalu penyesalan dunia tidak lagi dikongsi bersama walaupun kau tahu tentang bagaimana mereka katakan kita adalah rakyat dunia yang maha rapat, kemanusiaan lebih mudah dilempar dengan capaian tangan maya butang kongsi, tetapi kita sebenarnya dikurung dalam batas ini; untuk rasa kau lebih tahu dari apa yang aku tahu tentang diri aku sendiri dan ketika kau salah, aku merajuk dan katakan kau tidak ambil berat sebelum menyerang manusia secara jamak dan murung melimpah dari cawannya; aku tidak berhenti di situ untuk menyindir tugas Pencipta yang mencipta.
kau adalah kemungkinan pada ayat yang panjang. mulut aku terlalu kecil dan jari aku terlalu letih.