Anda berjalan dua tapak ke belakang dari pintu. Mungkin ada sesuatu yang akan muncul di sebaliknya. Perlahan-lahan anda rapatkan sisi badan dan tekapkan telinga pada permukaan pintu – bunyi sepi seperti hari-hari biasa anda. Ini adalah hari pertama anda pulang dari kerja setelah dua tahun menganggur usai graduasi. Berbekalkan ijazah sarjana muda yang anda sengaja komotkan pasca hari konvokesyen, anda berjaya untuk keluar dari jangkaan ibu bapa dan seluruh masyarakat tentang sebuah institusi adalah langkah bermula dewasa. Ini cukup bertentangan dengan pengalaman sebelum anda. Kamus hidup yang anda selalu bawa sejak rengek dari cubitan doktor di hospital dahulu tidak langsung terkandung soal dewasa. Maka, entah bagaimana, dalam sembang bantal sebelum dengan kekasih, anda dan pasangan anda cuba untuk rungkaikan misteri dewasa. Persis adegan toru dan naoko, ia berlaku pada hari lahir untuk memikirkan tentang kewujudan. Pasangan anda kata dewasa tidak fun. Anda setuju tetapi dalam masa yang sama cuba untuk warnakan dunia dengan warna kelabu – mungkin ada sesuatu disebalik tak fun itu tadi. Bagaimana kalau kita bercinta dan tidak berkahwin? Anda tanya demi kepastian dan dia hanya putuskan talian. Jadi dua tahun anda mula mencari sesuatu yang anda tidak tahu. Musykil, 20 lebih tahun anda sudah berjalan dalam dunia tetapi anda masih tidak tahu cara untuk tidak sesat. Pengalaman anda tidak mampu mengajar segalanya kerana anda manusia. Anda dilahirkan untuk mengulangi sengsara dan remehkan bahagia. Idea anda berpaksikan kejutan – sebaiknya abaikan apa yang anda lakukan sekarang dan raikan benda yang baru. Maka anda meneroka ceruk dunia yang lain. Anda lalui fasa ke kelab malam berdendang lagu latar edm dan peluh gadis asing. Anda lalui fasa ke panggung wayang dengan buku nota untuk catatan kritik. Anda lalui fasa ke pesta seni tempatan dan gosokkan tangan pada lukisan. Anda lalui fasa merokok cerut murah dibeli di 7e. Anda lalui fasa tenung skrin dan tulis puisi. Anda lalui fasa pakai serba kuning dan turun di jalanan. Anda lalui fasa muat turun anime yang sedang ditayangkan dan merungut untuk menunggu minggu depan untuk episod seterusnya. Anda lalui fasa berjalan di taman pada petang dan raikan awam yang pandang aneh ke anda. Anda lalui fasa untuk masuk ke bahagian permainan kanak-kanak di Aeon dan rapatkan mata ke figura-figura yang tersusun dalam rak cermin lutsinar. Anda lalui fasa menunggu jatuhnya rejim pemerintah supaya pendidikan bakal percuma dan pinjaman pendidikan terlangsai sendirinya. Anda lalui fasa ke mamak dan dengar rakan-rakan mengeluh pada minggu awal dapat gaji yang mana akan digunakan separuh (atau lebih) demi bil-bil dan perlaburan kekasih. Anda lalui fasa makan bersendiri di kafe dengan menu pasta rm15 ke atas (tetapi tidak kisah sebab ditemani lagu latar Jazz yang melo). Anda lalui fasa bermimpi dengan mata terbuka. Mana-mana satu semua ini hanya bergerak dalam durasi yang pendek kerana anda reti untuk letih. Anda jarakkan telinga dan buka pintu bilik dan ajaib! Bilik anda masih kekal sepertimana ia ditinggalkan sewaktu anda ke kerja tadi. Perubahan hidup ke komitmen kerja (ini bukan lagi permainan fasa) tidak mengubah apa-apa pada sekitar anda. Objek masih kekal dengan makna masing-masing. Sinar cahaya yang malu-malu masih menapak pada hujung sisi jendela. Bunyi angin dari tingkap tandas yang terbuka sedikit masih berkumandang. Anda sedar yang kediaman anda masih sama. Ini buatkan anda terasa tidak selesa. Ini buatkan anda rasa janggal. Ini buatkan anda rasa bengang. Ini buatkan anda tidak kenal diri sendiri. Mengeluh, anda hayun pintu dengan kuat dan tertanya kenapa anda khianati masa dengan mengubah diri sendiri.