Doa Pada Tin Kosong

Saya tak ingat bagaimana peralihan musim mampu bawa adegan sekarang. Segalanya hingar di sebalik rumah ini yang kian reput. Pada lubang-lubang dinding saya sumbatkan kain buruk. Saya harap tidak ada sebarang peluru mampu tembus melaluinya.

Saya ambil tin kosong dan susunkannya di meja. Jika orang tua saya nampak apa yang saya sedang buat ini, sudah tentu mereka akan rungut. Mereka akan kata, “apa yang kau buat?” atau, “cukup main tin dan pergi belajar” atau mungkin mereka tak akan kata apa-apa. Hanya datang dan campak ke semua tin kosong ini ke tong sampah di sudut dapur.

Malangnya mereka sudah tidak ada. Saya tertanya bagaimana suara mereka dahulu? Ingatan saya tak mampu bawa kembali nada yang sama dari silam. Cuma imej kabur lama letupan di bilik utama ketika jam 2 pagi (atau 3?) yang muncul. Ia terlalu terang hinggakan saya fikir saya bermimpi ketika itu. Saya syak akan ada dewa atau seseorang dari syurga muncul untuk datang menyapa. Ia tak ambil masa yang lama untuk saya sedar ibu dan ayah sudah tidak sedunia dengan saya.

Saya waktu itu tidak menangis. Saya tidak tahu untuk rasa apa. Ada berat emosi terdalam tetapi semakin saya cuba untuk rungkaikannya, semakin kusut kepala saya. Jadi saya hanya koyakkan fabrik langsir yang sedia terkoyak dan tutup kedua-dua mayat ibu dan ayah. Hari itu merupakan tahun ketiga revolusi dan saya kekal bersendiri hingga sekarang.         

Tiga tahun terus berlalu. Saya akan kutip tin kosong dan susunkan di meja. Waktu siang, saya akan keluar mencari makanan pada sisa rumah jiran yang masih berdiri. Sebelum masuk ke dapur mereka, saya akan pandang langit dan minta Tuhan untuk faham pada terdesak saya. Jika saya memilih untuk tidak makan, saya seolah memilih untuk bunuh diri. Saya tahu Dia sudah sedia faham tetapi saya masih meminta izin dariNya. Mungkin jika suatu hari Dia lihat betapa revolusi ini terlampau tidak adil, Dia akan serta merta hentikannya. Sebab saya tahu, Tuhan tidak perlu suara yang jamak untuk percaya pada bumi yang menangis, cukup dengan suara saya yang lemah dan terpinggir.

Hari itu saya tidak keseorangan di dapur asing itu. Ada beberapa orang lagi seperti saya yang mencari sesuatu untuk dijamah. Juga ada yang sekadar bentangkan kotak dan tidur. Dalam jauh, saya sedih melihat mereka yang seperti saya. Ia hanya ketika dekat saya sedar mereka tidak seperti saya.

Mereka suruh saya pejam mata dan rasai sesuatu. Seperti bisik perubahan di celah-celah zarah udara sekeliling. Atau hidu sesuatu yang berbau wangi dari jauh. Mana-mana satu, saya masih tidak faham. Saya katakan kepada mereka bahawa saya tak mampu kesan segala yang mereka katakan tersebut – telinga saya kekal pekak, mata saya kekal buta, hidung saya kekal tersumbat. Namun mereka bantah tegas. “Sudah tentu revolusi adalah ribut,” kata mereka, “usainya datang ladang-ladang dengan buah yang berwarna-warni.”

Saya bukan pessimis tetapi untuk dengar mereka lontarkan perkataan ‘ladang berwarna-warni’ tersebut buatkan saya tidak selesa. Saya ceritakan ke mereka 3 tahun lepas revolusi ambil kedua orang tua saya pergi jauh. Mereka bersimpati seperti manusia tetapi mereka masih yakin itu adalah pengorbanan yang suci.

“Ayah dan ibu saya tidak memihak.” Saya balas tegas, “kenapa korbankan pada mereka yang tidak terlibat?”

“Dunia dicipta dalam hitam dan putih.” Lelaki dengan tshirt hitam balas, “untuk lihatnya sebagai kelabu adalah kesilapan orang tua kamu sendiri.”

“Kesilapan mereka? Saya tak rasa—”

“Semua sudah siap tuan.” Seseorang datang dan tegur kami. Dia bawa air dalam botol kaca dengan kain yang terkeluar pada muncung.

“Mungkin kau akan rasainya bila alaminya sendiri.” Lelaki tshirt hitam ambil satu botol dari kotak dan hulurkan ke saya. Ada gestur mengajak yang ketara. Saya terlupa untuk makan dan terima untuk turut serta.

Kami keluar dalam keadaan tergesa tetapi masih lihat sekeliling demi berjaga. Kami berlari anak melalui ruang-ruang yang berdebu. Ada bahagian konkrit bangunan tinggi yang sudah menampakkan besi sokongan dalam. Pada suatu lorong lain, ada budak-budak yang bersembunyi di balik runtuhan bangunan. Mereka lantas lari waktu saya lihat ke mereka.

“Jangan risau,” lelaki bawa kotak kata, “hari ini mereka dalam keraguan, esok mereka nikmati segala lelah kita.”

“Kalau mereka masih hidup.” saya balas.

Kedua lelaki tersebut abaikan kata saya dan akhirnya kami sampai di sebuah tempat yang menempatkan lebih ramai orang. Kiranya ini kali pertama setelah 6 tahun saya dapat lihat keramaian sebegini rupa.

Mereka tak berikan respon apa-apa melainkan berkerumun pada kotak tadi. Setiap dari mereka ambil botol-botol yang terkandung di dalam. Masing-masing senyum dan ketawa.

“Apa yang saya kena buat dengan botol ni?” Saya tanya lelaki tshirt hitam tadi.

“Lihat.”

Saya turuti telunjuknya dan salah seorang mula ambil pemetik api. Dia bakar hujung kain botol sebelum lari dan campakkan botol itu ke salah satu bangunan yang dindingnya agak tinggi. Saya tak tahu apa yang berlaku di sebalik dinding tetapi telinga saya mampu dengar bunyi kebakaran.  “Itu premis mereka.” Dia kata, “itu adalah siapa yang kita perlu tumbangkan.”

Selesai botol pertama tadi, kini semuanya lakukan benda yang sama. Masing-masing berlari dan campakkan ke dalam bangunan tadi. Ada seorang dua yang gagal. Botol mereka tidak melepasi dinding dan kembali ke mereka. Saya terkejut dengan adegan tersebut. Mereka hanya ketawa sambil tepuk pada bahagian seluar yang terbakar.

Saya masih berdiri dalam pegun dan lihat kesemua mereka campak botol ke bangunan. Sebenarnya saya nantikan apa-apa yang muncul selepas. Seperti ada yang keluar membalas, atau jeritan tidak puas hati dari sesiapa yang tinggal dalam bangunan tersebut. Malangnya ia bergerak bosan. Ya sudah tentu yang campak botol tersebut seronok, tetapi bagi saya sebagai penonton, ianya seolah komedi yang kering.

“Botol di tangan kau tu.” Lelaki tshirt hitam tegur.

Saya angguk dan lihat bangunan dinding tinggi sekali lagi. Segala adegan kekal sama. Mereka yang ketawa sambil campak botol dan sisa kebakaran pada bahagian luar. Ianya ketika saya mendongak, dalam pandangan terjauh saya dapat lihat sosok orang tua saya yang samar-samar.

Saya abaikan dan ambil pemetik api. “Mereka terlalu asyik bersuara” sesuatu berkata di telinga kanan, “dunia sudah sedia bingit.” Saya kenal dengan nada suara tersebut – berat nostalgia muncul bersama ingatan ayah dan ibu. Waktu saya sedar, api sudah pun menyala di kain botol. Saya yang dalam gelabah tidak ada pilihan selain campakkan ke depan. Ia terkena pada baki botol yang berada dalam kotak.

“Maaf!” Saya jerit dan kami semua berlari jauh dari kotak tersebut itu. Entah dari mana, sekumpulan polis yang lengkap bersenjata muncul dan serang kami. Semua arah kini dalam lingkungan peluru yang berterbangan. Waktu saya ke arah selatan untuk sembunyi di salah satu lorong, kaki saya terkena salah satu tembakan. Saya biarkan daya terakhir untuk otot kaki saya terus bergerak ke rumah.

Saya buka pintu dan mengesot ke ruang dalam rumah. Sesekali saya pandang ke luar hanya untuk pastikan tidak ada mana-mana polis yang ekori saya ke sini. Saya abaikan rasa bersalah dan cuba untuk tidak ambil kisah dengan mereka dan botol-botol terbakar itu.

Saya tutup pintu dan teliti pada luka di kaki. Saya mahu keluarkan peluru di dalam tetapi teragak. Tanpa teknik yang betul ianya bakal memudaratkan. Jadi saya hanya ambil tin kosong yang terjatuh dan susunkan di atas meja. Pada setiap letupan di luar yang menumbangkan tin-tin ini, saya berdoa agar si revolusi tunaikan janji ladang warna-warninya suatu hari nanti.