Dia ketuk pintu saya dengan kuat. Silap. Ego saya berkadar selari dengan bunyi yang terhasil di pintu tersebut.
Tiga malam sebelum, saya dapat panggilan dari seorang yang tanpa-nama. Encik tanpa-nama ini berikan salam yang tegas dan kemudian nantikan saya untuk balasnya. Sudah tentu, dengan santun seorang muslim, saya ingin balas dengan panjang. Termasuk wabarakatuh di hujung ayat. Tidak. Dia potong ayat saya lebih pantas. Ia pada ‘ra’, sebelum dengan semangat bertanya siapa nama saya.
Saya pantang dengan caranya tersebut – tiada adab. Perlu diketahui bahawa seseorang tidak patut bertanya nama selagi dia tidak berikan namanya dahulu. Seolah memilih untuk bercinta. Kita tak boleh tanya, ‘adakah kau cintaku hidup dan mati’ hanya sebab dia – yang kita tertarik tersebut – duduk bertentang dengan meja kita di McD. Hanya pada satu pandangan berselisih dan kita mahu ambilnya ke dunia kita? Bullsh—
“Aku tahu kau ada di dalam,” encik tanpa-nama jerit, “aku lelaki yang hubungi kau hari tu.”
“Ya aku pun tahu kau di luar.” Saya ke dapur untuk secawan teh.
Jawapan saya rangsang irama ketukan pintu untuk jadi lebih huru-hara. Dari tempo yang selari kini ia tidak sekata. Bunyinya juga naik dan turun. Saya makin jelek dan terpaksa abaikan teh, walaupun di cawan sudah dimasukkan gula.
Tiga malam sebelum, saya beri nama saya sebagai K. Sebuah keterpaksaan sebenarnya – dia terlampau menghurung saya dengan siapa, siapa dan siapa. Macam ketukan pintunya, suaranya sendiri boleh naik graf nada dan cukup bingit jika saya biarkan.
Dia berkata sesuatu tentang tiga hari akan datang, dia akan datang.
Saya ambil masa untuk memikir. Demi tuhan, cara dia ucap datang tersebut cukup seram walaupun untuk lelaki yang cukup sifat seperti saya. Saya yakin dia tahu alamat rumah ini, yang mana, kini sudah terbukti pun. Saya tanya kenapa dia mahu datang dan dia beritahu sesuatu tentang hutang. Selama menyewa di sini, saya tak meraikan semangat kejiranan. Tidak juga dengan orang asing yang saya curi-curi perhati di luar. Saya yakin saya tak pernah berhutang apa-apa dengan seseorang. Sedangkan kucing liar gebu yang selalu berkeliaran di laman koridor depan pun saya tak pernah usap dan tunjuk kasih sayang. Segala desakan hutang ini ralat. Saya rasa ia prank dan mungkin, jika untung, saya akan diberi pampasan setelah diberitahu ‘hey lihat sudut sana ada kamera, senyum!’
“Apa hutang aku?” saya tanya. Kali ini saya ambil langkah di belakang pintu. Tangan saya pegang pisau dapur.
“Kau lupa?”
“Aku ingat tapi aku nak pastikan ingatan aku betul.”
Dia berhenti ketuk pintu, “Melur.”
“Bunga?” Saya lihat jubin, memikir, “aku hutang bunga dengan kau?”
“Dia memang cantik macam bunga…”
Dia buat saya kusut pada bunga yang cantik macam bunga. Sesekali saya fikir dia tersilap. Dari akar ke pucuk; segalanya silap. Mungkin ketika dia tanya nombor telefon untuk disalin dan dia silap dengar. Mungkin ketika dia diberitahu alamat dan dia silap nombor pintu. Saya tak pernah minta bunga yang cantik macam bunga dari sesiapa di mukabumi ini. Sumpah.
“Dia teman yang baik.” Suaranya perlahan, “Melur berikan cahaya pada hidup aku. Seperti aku sedang berada di gua dan dia datang dengan obor api di tangan. Kami duduk bersama dalam gelap, dia tak kisah, menconteng gua dengan cerita-cerita kami dengan gambar. Orang lidi dan rumah segitiga membawa kami untuk terikat dengan suatu tali yang istimewa.”
Saya diam. Mungkin ini masa yang baik untuk sambung ke hal teh yang tak selesai di dapur tadi.
“Makin lama kami makin bercinta dengan kegelapan. Itu masalahnya. Dia mula padamkan obor dan kemudian gelita makan seluruh kulit dan tulang-temulang. Saya tak dapat lihat dirinya seperti dia yang tak dapat lihat diri saya. Suatu hari dia hilang. Dia ada dengan kau.”
“Sedihnya.” Saya respon sopan walau tak dengar sangat di dapur, “aku simpati ke kau kawan.”
“Kalau simpati,” dia kembali ketuk pintu, “pulangkan Melur ke aku!”
Selesai putarkan sudu arah lawan jam, demi teh dan gula yang sebati, saya kembali ke ruang tamu depan. Kali ini saya tidak tahu ingin layan atau tak encik tanpa-nama ini. Dari panggilan rambang tanpa adab, ke ketukan pintu jelek, ke penceritaan kisah hidupnya. Melur mungkin cari pasal dengannya apabila tinggalkan dia sebegitu. Cari pasal dengan saya bila dia mungkin petik nama saya yang memilikinya.
Melur atau bukan Melur. Teh bancuhan hari ini lebih sedap dari semalam.
Saya sandar pada sofa. Beberapa ketukan mungkin akan buatkan encik tanpa-nama jadi bosan. Dia akan pergi dari sini untuk hari ini. Saya tak tahu untuk uruskan lelaki yang gagal dalam bercinta – dalam gua pulak tu – jadi cara yang terbaik adalah untuk tak melayan. Mungkin dia tak waras dan hari ini hari malang rumah saya. esok dia akan ke blok lain dan bercerita tentang Melur pada awam yang lain. Soal nombor telefon? Kebetulan ketika dail, atau ada rakan sebelum yang dajal tuliskan nama saya di stesen bas dengan Sharpie.
Saya tertidur dan mata kembali celik bila ada ketukan lembut di pintu. Bukan encik tanpa-nama tadi, saya yakin. Melihat peta yang tercipta di sofa, adegan tadi barangkali sebuah mimpi. Ia masuk akal apabila melibatkan benda peribadi seperti nombor telefon dan alamat rumah saya terkompromi. Ia ciptaan otak saya sendiri. Mimpi yang intens tapi saya terhibur. Lagi-lagi apabila cawan teh serupa dengan bancuhan saya dalam mimpi.
“Kejap.” Ketukan masih kekal lembut. Saya bergerak ke arah pintu dan buka. Seorang gadis sedang pegang beg plastik sampah hitam.
“Melur?”
“Siapa Melur?” Dia buat muka, “now tolong I settlekan mamat ni.”
Saya angguk. Lelaki berjambang tak terurus sedang lena di tikar selamat datang depan pintu saya. Saya masukkannya ke dalam beg plastik, Waktu itu hati saya dambakan perjalanan ke gua yang gelap.
Mungkin saya boleh conteng orang lidi dan rumah segitiga di permukaan gua sana.