Menulis adalah membina sesuatu dan saya tak pasti kenapa saya mahu jadi buruhnya. Hari-hari disajikan dengan Surya - saya akan nyalakan dan selitkan di mulut. Kemudian saya akan menyanyi lagu semangat sambil tangan-tangan saya menari di atas papan kekunci. Pada kesilapan langkah tari, jari saya yang tersungkur dengan perkataan yang salah, saya akan duduk dan bersandar dan teliti pada kecacatan saya sendiri. Di tubuh atau sesuatu di dalam jiwa. Segera saya salahkan pada majikan saya yang mungkin tidak pernah ambil tahu tentang kebajikan saya; pada lenguh dan parut saya ketika proses membina dunia palsu, pada lebam di keliling mata yang bertarung mengantuk - saya cuba lihat sekeliling untuk menyalahkan sesuatu.
Ia berakhir dengan dinding bilik yang berubah menjadi cermin. Di pantulannya saya nampak diri saya yang ketawa meraikan saya yang sakit.