Bila ditanya kenapa kena mengelak, aku akan senyum. Mungkin sebab itu antara aku dan aku, dan kalau dunia ingin tahu kenapa pun aku takkan jawabnya. Sebab mereka hanya mata ketiga dan tak akan tahu kenapa walaupun aku dah bagitahu sebab atau tujuan.
Jadi ini adalah tulisan aku berkata kepada diri aku sendiri.
Aku tak ingin berdepan kembali dengan silam sebab ia menekan aku untuk berfikir. Berbeza dengan mereka yang lain, aku lebih peka dengan ruang walaupun aku berlagak seolah tak peduli. Aku tahu bagaimana mereka biarkan penutup pen mereka terus terbuka walaupun mereka tak menyalin dan hanya mendengar, aku sedar gestur kecil dari orang asing sana kepada orang asing yang lain, aku perasan dengan tapak bergesa mereka ketika menyapa kawan rapat atau seretan kasut yang malas – ini semua berlegar dalam kepala aku.
Sebab mereka akan kata ianya sakit ego dari parut yang lama. Maaf tapi mereka salah. Aku sendiri berharap ia sekadar sakit ego yang berfasa – suatu hari nanti aku akan keluar darinya tanpa kesan – tetapi ia bukan. Perinci kecil cukup berharga bagi aku kerana letih melihat gambaran besar.
Gambaran besar adalah penipuan, aku ambil masa bergelut dengan diri sendiri untuk tahu dengan ini.
Mungkin benar kata mereka; tak ada orang yang ingin jadi pengarang, selalu pengarang adalah hasil manusia yang terperangkap dengan soalan dan ruang masa. Kerana ironinya terlalu mengarut hinggakan akal aku tak mampu jelaskannya. Bagaimana keadaan berubah, bagaimana cakap-cakap semalam hanyalah semalam, bagaimana prinsip yang lepas kekal lepas, bagaimana manusia berubah pada sesuatu yang mereka elakkan untuk jadi pada awalnya.
Oleh sebab itu aku tak kisah kalau mereka kata aku terlalu kebudakan kerana mereka tak faham. Apa yang aku lakukan ini adalah melepaskan silam – kerana membaiki terlalu meletihkan, aku pilih untuk robohkannya dan harap suaranya yang semalam akan hilang ditelan masa.