Dua Suara

Malam semalam saya berkata dengan diri sendiri. Ia proses yang normal. Cuma semalam, saya letakkan diri saya pada suara yang lama. Suara yang entah saya sudah tak faham bagaimana ia dilontarkan. Dua atau tiga tahun lepas, mungkin, pada waktu saya mampu senyum pada benda yang rawak dan kejutan yang mendatang hari demi hari.

Saya katakan ia adalah salah saya sendiri kerana menjadi terlalu naif. Tetapi suara lama tadi kembali menyebut cabaran-cabaran lama saya – tentang bagaimana saya seorang remaja yang perlukan adventur, seorang lelaki yang perlukan parut dan luka, seorang budak yang pengalaman adalah segalanya. Saya yang sekarang kemudian gelakkannya, kerana itu adalah punca kepada kesakitan-kesakitan yang sebelum. Saya terlalu terbuka dan terdedah. Saya biarkan seseorang masuk, hancurkan hidup saya, dan kemudian pergi tanpa ada sebarang kesal.

Ia mengingatkan saya bagaimana saya boleh berdiri dengan senyuman apabila dunia saya ketika itu sedang runtuh satu persatu. Bau-bau debu yang berterbangan, sisa-sisa bangunan yang tersenyum, jeritan beberapa awam walhal tiada sesiapa pun yang berada di sana, langit mendung, dan angin yang perlahan. Saya hanya pusing memandang seluruh sudut, terpinga sama ada ianya nyata atau fantasi. Bagaimana dunia aku boleh hancur hanya sebab suatu perkara yang kecil? Saya tanya diri sendiri.

Pada cara saya melihat kesakitan adalah ia dalam sempadan dunianya sendiri. Berlegar-legar pada tempat yang sama tetapi masih lagi menjemput semua yang berada di sekitarnya. Dan saya tertarik dengan ajakan mereka – perlahan melangkah untuk lihat setiap satu susuknya – sebelum berkawan dan meraikannya.

Itu kali terakhir saya boleh katakan yang saya kenal diri saya.