“Kasi aku duit,” dia sergah, aku boleh rasa sentuhan bucu pisau pada belakang badan, “kalau tak, nyawa kau hilang.”
Waktu tersebut saya cuba membanding kata-katanya dengan situasi. Sebab saya tahu, sekarang ini kami berdua berada di tempat yang sunyi – rumah aku terasing dari kejiranan awam – diiringi bising serangga semak di luar dan gelap malam. Hanya cahaya bulan melepasi langsir lut cahaya bilik yang kena tepat pada kawasan lutut ke buku lali.
Jadi kenapa dia perlu ugut saya sebegini?
“Aku akan berikan kau duit,” saya kata tenang, “tapi cuba susun balik ayat ugut kau tu.”
“Hah?”
“Bunyinya macam tak kena. Macam entah apa-apa.”
Dia terus angkat pisaunya dan letakkannya di leher saya. Dari sentuhan bucu, kini terasa nipis sisi pisau tersebut melekap pada kulit leher. Apabila saya cuba untuk menelan air liur, saya tahu sisi pisau tersebut tidak rata dengan lekuk-lekuk kecil tak sekata. Mungkin dia pernah gunakan pisau ini untuk membuka daun pintu, atau menetak dinding yang keras.
“Kau jangan main-main dengan aku.” Dia rapatkan mukanya.
“Aku tak pernah main-main bila melibatkan nyawa. Cuma itu yang aku tak faham, ugutan kau tu, kenapa kau tak boleh bunuh aku dan ambil duit selepasnya?”
Adakah ianya sebuah nilai kemanusiaan yang masih kekal pada jiwa-jiwa yang terdesak dan memilih jalan gelita? Untuk si jahat berikan peluang kepada mangsanya memilih nyawa atau duit? Kerana aku rasakan ia terlalu lucu. Sudah tentu duit boleh dicari tetapi ia masih melibatkan kerugian kepada mangsa. Dan mati, ia tak pernah ada patah balik.
“Kenapa? Kau nak mati sangat ke?”
“Tak, cuba kau fikir.” Aku semakin tenang dengan situasi ini, “antara kau dan aku, siapa yang ada kuasa sekarang ni? Dah tentu kau; kau dengan pisau, kau dengan gerak yang tak terbatas. Aku dalam terdesak dan perlu memilih sama ada berikan duit atau nyawa, betul?”
Dia diam mendengar.
“Jadi kenapa kau kena berikan ilusi memilih tersebut kepada mangsa, kepada aku? Kau tahu, ayat tersebut lebih menyakitkan dari pisau kau yang ada kat leher aku sekarang. Sebab kau seolah merendahkan aku untuk memikir pilihan tadi.”
Dia ambil masa sebelum balas dengan suara tegas, “aku tak faham apa kau cakapkan ni.”
Jadi kalau kau tak boleh faham dengan kata aku ini, kenapa perlu campakkan soalan duit atau nyawa tadi? Adakah ia pengenalan dari si jahat yang tersembunyi, hey aku ingin lakukan ini tapi aku tak ingin lakukan ini? Kalau kau nak lakukan sesuatu, buat sepenuhnya; kerja separuh-separuh begini melecehkan dan paling penting, merendahkan aku sebagai si mangsa.
Malam tersebut terus berlalu dan entah kenapa ia cukup seronok apabila dia tetamu pertama aku di rumah sini.