Langit semalam sama kelam dengan tiap-tiap ayat yang kau sebut. Angin juga tak ingin sapa apabila kita berada di dalam perbualan kasual, kerana sama seperti suara kau yang menggeletar, ia terlalu takut dan teragak-agak. Tetapi ia berbeza pada cahaya lampu dari ruang sebelah sana yang menyuluh terus dan pantas ke arah kita — kau yakin dan dalam masa kau duduk dalam ruang tidak pasti, dan ini yang buatkan aku kagum dengan kau.
Pada tiap nafas yang kau hembus, ia tak sekata. Tangan kau menggigil dalam ketakutan. Dalam masa yang sama, kau mampu katakan pada dunia yang kau berbeza. Mungkin sebab kau tahu kau berbeza, mungkin sebab kau tahu kau tak seindah mereka yang selalu dimunculkan dalam pementasan romantis dengan adegan-adegan berbunga.
Kau dalam gelita — aku lihat itu dan turut serta. Kau hadkan masa ketika bercerita kerana kau tahu, ia bakal berakhir malang. Kau jenis melihat gelas yang separuh kosong. Kau terseksa tetapi kau ketawa meraikannya. Kau sudah jatuh berderai di lantai, aku kutip perlahan (sudah tentu tangan aku sendiri terkena lukanya) sebelum segala sel dalam badan kau menjerit, 'tak mengapa, aku tak ingin diselamatkan!'
Kau adalah segalanya tentang diri kau, tanpa perlu dibentuk oleh sesiapa. Kau degil bersuara, kau berlawan mata, kau menentang rohani mereka tanpa perlu berbuat apa — cukup dengan kau yang diam.
Tetapi itu semalam. Musim kini berubah dan garapan takdir sudah membawa kau pergi jauh dari siapa atau apa makhluk kau yang sebelum. Apa yang terjadi pada kau? Akal aku bertanya pada waktu tiga pagi dan susunan suara jelek muncul dari dalam untuk beritahu itu semua tangan-tangan kesenangan dan bahagia.
Bersyukurlah, itu apa yang aku patut kata bukan?