Surat Memutus

Kehadapan awak,

Saya tahu ia agak lewat untuk sebarang balasan mengenai soalan awak yang sebelum. Sengaja saya biarkan ia bertangguh dalam cermat. Saya terpaksa lakukannya. Oleh sebab itu, surat awak tersebut saya tampal di dinding berdepan dengan katil supaya setiap kali saya bangkit dari tidur atau ingin keluar dari bilik, ia adalah peringatan kepada saya supaya fikir dan terus fikir apa ayat yang sesuai untuk awak kelak.

Jadi maafkan saya sekiranya saya membunuh keterujaan awak, jika ia pernah berlaku.

Dalam surat yang lepas, awak bertanya sama ada saya serius dengan perhubungan kita. Saya sedar yang 20 tahun bukanlah masa yang awal. Mungkin bagi mereka yang kini berumur 70 atau 80an, dunia adalah perkara yang sama seperti dulu. Saya dan awak yang lahir sekitar tahun 90 cukup sedar kita bergerak dalam ruang masa yang semakin kecil, kitaran lahir dan mati terlalu cepat, dan kerugian yang berlaku sekiranya kita ambil masa walaupun hanya dengan satu kerlipan mata yang rawak. Zaman digital ini cukup pantas bukan?

Jadi biar saya katakan ini; saya sebenarnya serius. Terlalu serius hinggakan saya sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk bersemuka dengan awak selepas ini. Kehangatan kasih kita (maaf jika ia berbunyi plastik, persis novel jiwang) cukup kuat bagi saya. Masa-masa tertentu saya menjadi terlalu bersemangat dan inginkan dunia yang cepat ini menjadi lebih cepat supaya saya boleh alami suasana berdua dengan awak secara sah, punya kereta dan rumah, anak-anak yang boleh kita dua bawa ke tasik untuk sesi kekeluargaan pada petang hari, dan malam yang saya akan ajar mereka mengaji untuk kekalkan rasional moral dari kata-kata Yang Esa.

Saya tahu, awak mesti tersenyum dengan impian saya ini.

Tetapi ini semua terlalu ideal, ia menakutkan saya yang sekarang ini tidak tahu langkah saya sama ada ke depan atau ke belakang. Saya bukanlah seorang pessimis untuk anggap masa depan sebagai ancaman tetapi kesedaran saya lebih faham tentang makna praktikal. Tentang bagaimana saya harus berusaha untuk kekalkan permintaan dan jangkaan dunia bersama masyarakat sendiri – ini permulaan masalahnya.

Satu perkara yang awak perlu tahu (saya rasa awak dah pun tahu) ialah saya mempunyi jiwa yang tidak reti untuk kekal selesa. Saya sentiasa cari sesuatu untuk diteroka, adegan-adegan baru untuk diamati dan bunyi-bunyi baru untuk didengar. Mempunyai hubungan yang kukuh bermakna saya kena lupakan ini semua: perlu mula hidup berutin supaya tidak menyusahkan orang lain, menjaga sikap dan sifat supaya mereka tidak terasa dengan saya, elakkan kejutan kerana 70% kejutan adalah melecehkan dan lain-lain. Semua ini meletakkan saya dalam keraguan yang terdalam. Mungkin awak akan balas dan katakan ‘takpe, kita berdua akan deal dengan ni kemudian’ tetapi saya lebih faham bagaimana masa akan gunakan tangannya untuk ubah segala perkara. Perasaan yang awak ada sekarang ini pun akan diubah olehnya, jika ia tiba-tiba seronok berkawan dengan takdir yang gelap.

Sama ada cepat atau lambat awak akan bina penjara, eh bukan, cipta bekas untuk saya kekal menurut dalamnya. Saya cukup pasti dengan ini, zaman sekarang mana ada yang guna istilah susah sama-sama lagi bukan? Jika masih ada, itu bermakna mereka masih tertinggal dalam keadaan yang naif dan dangkal.

Selepas ini saya tidak tahu apa yang bakal terjadi dengan surat ini. Saya percaya awak akan baca dengan tangan yang memegang erat pada sisi kertas, terlalu erat hingga meremukkannya. Sebuah ekspresi tertekan, bengang atau sedih wujud bersama garis-garis tidak sekata hasil remukan tadi. Maafkan saya sekiranya saya ambil masa untuk beritahu ini semua. Saya terlalu takut untuk ditinggalkan tetapi itu adalah sesuatu yang biasa, dan ini adalah ucapan selamat berjaya saya kepada awak.

Kerana saya belajar sesuatu: Jika kita takut ditinggalkan maka kita harus lakukannya dulu, tinggalkan mereka.

Yang bakal menjadi bayang-bayang dalam silam awak,
Saya