Saya sedar berbanding dengan dua minggu lepas, ianya agak lewat untuk saya hadir ke sekolah pada waktu begini. Ianya sukar, dengan perhatian yang bakal saya dapat ketika saya masuk nanti. Maksud saya, tentang bagaimana sekiranya mereka semua memandang pelik kepada saya – lebih pelik dari beberapa minggu, bulan dan tahun yang lepas.
Saya tolak pintu dan melangkah perlahan. Seperti yang dijangka, perbualan menjadi bunyi sepi dengan mata-mata yang beralih tepat menurut kelajuan saya untuk ke meja. Saya teruskan dan pantas duduk di kerusi, sebelum pandang ke luar tingkap.
Langit masih kelam seperti hari-hari sebelum.
Sepi tadi mula berubah kepada perbualan yang rancak. Walaupun saya tak terlibat dengan adegan-adegan sosial tersebut, saya masih mampu dengar dengan apa yang mereka katakan. Ianya tentang saya. Bagaimana saya masih berani datang ke kelas? Apa yang berubah pada diri saya? Apa yang saya fikirkan? Apa yang jadikan saya lebih pelik dari pelik yang sebelum?
Ianya normal; bila ada seseorang yang cuba bunuh diri tetapi gagal dan orang itu adalah salah seorang dari ahli kelas kau, itu adalah topik yang hangat untuk beberapa minggu atau bulan selepas.
Biarkan. Mereka semua remaja seperti saya. Apabila musim berubah, trend juga berubah – perbualan mereka juga bukan lagi mengenai saya.
Jika difikirkan bagaimana saya buat keputusan untuk terjun dari atap blok pentadbiran, ia terlalu rawak. Tak ada sebarang perancangan yang teliti. Mungkin saya seorang INFP yang lebih sukakan spontan. Sudah tentu ada idea awal tentang bunuh diri tersebut tetapi ia lebih mudah. Saya akan naik ke atap blok pentadbiran yang rata, berdiri di sebelah bilik tangki air untuk teduh, tatap kembali gambarnya dan kemudian terjun. Saya berjaya lakukan segala proses tersebut dengan pantas tanpa sebarang teragak. Namun tindakan acah-acah spontan tadi memakan saya sendiri apabila saya jatuh ke kanopi di dataran bawah yang sepatutnya digunakan untuk suatu majlis sekolah pada minggu depan.
Ianya mengecewakan.
Maka saya dikejarkan ke hospital dalam keadaan tangan kiri yang patah dan luka-luka geseran ketika saya mencecah permukaan tar di dataran. Doktor katakan kepada orang tua saya bahawa ia adalah kesilapan ketika mendarat. Ia lucu. Waktu tersebut saya ketawa dalam hati dengan mata yang berair – serius, tangan yang patah dengan luka geseran kecil cukup pedih.
Kesilapan ketika mendarat eh?
Cikgu Aishah masuk ke kelas. Ianya subjek Bahasa Malaysia.
Jadi untuk tiga hari saya dirawat dengan teliti oleh jururawat di sana. Doktor sendiri sering datang dan bertanya kepada saya tentang kejadian hari tersebut. Untuk ambil angin dan dalam masa yang sama hargai pemandangan yang luas dari aras atas, itu alasan saya. Doktor dengan mata keraguannya cuba berkali memecah tembok penipuan saya tersebut tetapi ia tak berjaya.
Bukannya saya takut untuk beritahu tujuan saya lakukannya tetapi mereka tak akan faham. Saya sendiri tak betul-betul faham kenapa saya lakukannya. Perkara spontan dan rawak cukup memudaratkan, bukan?
Cikgu Aishah mengajar di depan sambil berhenti sekali dua untuk melihat saya dari tempatnya. Mata yang normal; tak ada sebarang klu dia memerli, atau ragu, atau mengutuk tindakan saya pada hari itu. Cuma ada janggalnya bila dia berhenti berkata dan membalas pandangan mata saya secara terus. Mereka, pelajar yang lain turut lakukannya dengan memihak kepada cikgu Aishah. Hey, kini saya berlawan mata dengan mereka semua dan mari kita kira satu sampai seratus siapa yang alihkan pandangan dulu maka dia kalah!
Waktu rehat tiba dan saya fikir ianya terbaik untuk saya luangkan masa di kelas. Ia adalah larangan menurut peraturan sekolah tetapi saya rasakan diri saya kini seolah ada kuasa untuk langgarnya. Seperti mereka semua tak akan mampu berbicara dengan saya kerana tak sangka, terjunan saya pada hari itu seolah berikan mereka kenyataan bahawa saya cukup berkuasa. Apa pun yang mereka lakukan – maki, perli, pukul – yang mana akhirnya ia jelas hanya saya yang berani lakukan apa yang mereka tak berani; tamatkan nyawa saya sendiri.
Walaupun ianya, hm, gagal.
Hujung ufuk sana cukup murung dengan bunyi pelajar lain bermain-main di bawah. Saya boleh rasakan angin sendiri berbual di sekeliling saya tentang bagaimana kita melihat sesuatu dengan persepsi yang paling selesa, tanpa berhenti dan cuba ambil tahu tentang gambaran yang lebih terperinci dan sebabnya.
Cukup bosan dengan pemandangan tersebut, saya keluarkan gambar hari itu dari poket dan pandang rapi. Melihat diri saya yang masih lagi berpakaian seragam sekolah rendah dengan senyuman yang lebar – telinga hingga telinga – yang saya tak akan bertemunya lagi kerana ia sudah lebih awal hilang berbanding separuh dirinya yang kini merewang sepi dalam bising awam.
Kau, aku akan datang dan lengkapkan kau di sana. Tunggu ya.