Tahu tak, saya sendiri dah nampak kesepian akan datang dalam hari-hari semasa saya. Bagaimana? Haha dah tentu saya bukan seorang psikik atau penilik atau apa, saya cuma tahu kerana ianya hukum alam; manusia mengelak perkara yang bakal bawanya ke lorong yang gelita. Kawan-kawan saya sering katakan saya pembawa rasa murung, pengecat warna kelam dalam kanvas hidup mereka. Sekali dua mungkin mereka boleh duduk dan dengar dengan apa yang saya ingin katakan tetapi lebih dari itu, perkara tak pernah akan sama. Bermula dengan idea mereka menolak cerita saya hingga ke mata menghalau mereka ketika melihat susuk saya. Saya adalah garam dan entah kenapa, saya sering jatuh tepat ke luka mereka yang terbuka.
Hey, tetapi itu perkara yang baik bukan? Saya sendiri tak sarankan mereka untuk memeluk tragedi dan mengangkat minuman ke udara demi meraikan malang.
Maka kini saya boleh bilang beberapa saja yang masih kekal meraikan kehadiran saya di samping mereka. Rakan-rakan saya mulai menjauh secara fizikal menurut detikan masa, dan perlahan mereka tinggal dalam ingatan silam. Saya tak pernah menjatuhkan apa-apa hukuman atau rasa kecewa, kerana dunia mereka masing-masing juga cukup penting bagi saya; bagaimana apabila mereka bertemu seseorang yang lebih seronok untuk berbual, bagaimana apabila mereka menjumpai jiwa lain yang seiring berkongsi minat yang sama, dan akhir sekali, bagaimana mereka berjumpa dengan si istimewa yang berpotensi untuk dijadikan pasangan hidup pada masa depan. Mereka semua, seperti saya, ada semesta masing-masing yang perlu dipenuhkan.
Jadi seperti saya katakan tadi, saya dapat lihat bagaimana ramahnya saya dengan kesepian.
Hinggalah pada suatu hari saya bertemu dengan seorang kawan lama yang duduk cukup jauh. Kami bertukar khabar hanya sekali sekala. Tak ada apa-apa yang istimewa atau menakjubkan yang berlaku dalam garisan pertemuan kami sebelum – hanya seorang kawan yang meraikan minat yang sama dalam penulisan dan sastera. Dan ia agak aneh kerana kami sendiri jarang berbual mengenai minat yang sama tersebut. Saya bertanya kepadanya kenapa dia lakukan ini semua? Kenapa dia masih berada di sini dan melihat saya dengan pandangan yang sama seperti dulu?
“Betul jugak… Kau ni bukan benda yang orang inginkan. Serius, siapa yang nak ada kawan yang bawa vibe negatif lepastu cakap pasal tragedi dengan mulut tersenyum lebar dan mata yang bersinar?”
“Jadi, kenapa?”
“Sebab kau perunding yang baik. Walaupun lepak dengan kau cukup depressing, tapi paling kurang kau ingatkan aku batas antara mimpi dan ruang dalamnya yang menyakitkan.” Dia senyum tanpa teragak, kenyitkan sebelah mata ke saya, “semua lukisan perlukan warna gelap untuk tonjolkan bahagian yang cerah, kan?”