Kuasa Pendengar

Dia ialah seseorang yang seronok untuk bercerita.

Rupanya kelam dengan riak wajah tak kisahnya itu, hoodie warna pastel yang gelap bosan dan bertutup keliling kepala, jam tangan analog jenama Casio yang biasa kita boleh dapatkan di kedai jam dengan harga 70 atau 90 ringgit; imejnya sendiri buatkan saya tertarik untuk bercerita.

Semua tadi dilengkapkan lagi dengan sikap minimalnya ketika berbual. Dengan satu atau dua ayat yang mudah, dia mampu berikan rasa perbualan yang lengkap dan padat. Mungkin itu terjadi apabila dia lebih suka ambil masa jeda ketika berucap. Nada suaranya juga pada aras yang cukup-cukup selesa bagi seorang pendengar; tidak terlalu murung untuk berikan rasa sinikal dan tidak terlalu dramatik. Average at its finest, salah seorang kawan saya pernah beritahu tentangnya.

Saya setuju.

Jadi kami sering berjumpanya ketika berada di dalam konflik luar. Ia tak ada kaitan dengannya, sudah tentu, tetapi dia adalah penghubung pada sebab/langkah yang kami tak mampu huraikan secara jelas dengan masalah kami. Saya pernah bertanya sama ada semua ini bakal bebankannya. Dia hanya menggeleng dengan senyuman yang ikhlas. Barangkali dia salah seorang jenis manusia yang suka tonton drama tetapi untuk terlibat sekali, jangan harap.

Masa berlalu dengan rahsia dan masalah yang dicurahkan kepadanya hari-hari. Hinggalah R mula berbisik sesuatu kepada saya di tepi tingkap kelas.

Untuk dia dengar dan dengar dan dengar, kau rasa sampai bila dia boleh tahan? Kau tahu, macam satu sistem database; terlalu banyak input bermakna segalanya akan kompleks dan kusut dan akhirnya padam.

Soalan tersebut kemudian mengubah perpekstif saya tentangnya, si pendengar masalah tadi. Untuk hari selepas, saya melihatnya sebagai seseorang yang cukup rapuh dan seperti kawan saya kata tadi, bakal padam. Saya sedang duduk di depannya sebagai orang yang sama dan dia orang yang lain. Dalam suara-suara kami yang mengelilinginya, dia akan tenggelam dalam sepi. Suaranya yang menyenangkan tadi akan dilupakan oleh kami dengan masa. Dan apabila waktu itu datang, adakah dia akan menyesal dengan dirinya yang sekarang? Dengan dia yang hanya memilih untuk diam dan dengar?

Waktu saya pandang matanya, saya mampu dengar suaranya.

Hilang? Aku rasa rahsia korang ni yang buatkan aku tak hilang, cukup pasti, korang takkan berani untuk aku hilang.