“Nah,” dia kata, “ni untuk kau.”
Saya ambil masa untuk tenung kotak merah dan beriben putih tersebut. 5 saat dan saya silap. Sebaliknya, ia kotak berwarna putih dengan riben merah.
Apa ada dalam kotak itu?
“Hey, ambil.” Dia dekatkan kotak tersebut kepada saya, “tak sangkakan dah lima tahun kita berkawan?”
Saya ambil dan pegang erat kotak tersebut sepertinya saya menghargai pemberian ini. Jika ditanya, saya tidak ingat bila kali terakhir dia berikan sesuatu kepada saya. Mungkin pada hari pertama kami bertemu dulu di bilik kuliah. Dia di belakang dan saya di baris depan. Entah bagaimana dia tahu saya terlupa bawa bekas alat tulis hari itu, dan entah kenapa dia berikan saya pen hitam untuk dipinjam.
Babak tersebut cukup asing kerana saya seorang yang berdikari. Meminjam adalah bergantung dan saya tak ramah dengan idea tersebut. Ada pemberian bermakna ada bayaran; menakutkan.
“Terima kasih,” saya dekatkan kotak ke telinga, goncangkan perlahan, “tapi kenapa ya?”
“Kenapa apa?”
“Kenapa kau bagi hadiah ni?”
“Saja je.” Dia sandarkan diri pada dinding, “kau tak suka ke?”
Saya menggeleng perlahan dengan senyuman yang janggal. Tidak pasti sama ada dia boleh baca gestur ini atau tidak tetapi saya masih teragak dengan segala benda yang berlaku sekarang. Seolah dikejutkan dari mimpi yang seronok, atau seolah kemalangan berlaku di depan mata dan kita bernasib baik dalam detik milisaat, terlepas dari kesannya.
“Aku rasa nak hargai orang yang ada dalam hidup aku sekarang ni. Jangan salah faham tapi bukan kau seorang je yang dapat hadiah dari aku. Ada orang lain juga.”
“Okay…”
Ini adalah petanda kepada sesuatu. Selalunya orang yang dekat dengan ajal ingin berikan kebaikan sebelum matanya tutup, bukan?
“Kau ada penyakit ke yang buatkan kau macam hidup tak lama lepastu kau mula nak hargai orang?”
Saya pergi telalu literal. Dia gelak besar.
“Bukanlah Farah. Benda tak sedramatik macam tu.”
“Jadi?”
“Hey, bukalah hadiah tu dulu.” Dia senyum.
Saya menurut katanya. Bingung pemberian berikan saya was-was yang lebih ketika membuka. Saya sentuh riben merah tadi hati-hati, belai ikatannya yang agak menarik, tarik salah satu hujung dan ia tercabut. Saya letakkan riben tersebut ke poket hoodie.
Aksi yang kedua lebih mudah buatkan segalanya tak senang bagi saya. Apa yang saya perlu lakukan hanyalah buka penutup kotak putih tersebut. Saya melihat mukanya berkali dengan jari yang agak menggeletar memegang kotak. Dia senyum dan angguk sebagai isyarat teruskan.
“Kejap,” saya mengalah, “kalau aku buka kotak ni so apa yang jadi?”
“Apa yang jadi, apa?”
“Tak. Maksud aku, apa yang kau jangkakan dari aku? Kau tahukan aku tak suka kejutan apatah lagi hadiah macam ni.”
“Ini hidup,” dia buat muka sindir, “kejutan akan datang bila dia nak datang.”
Saya diam dan kembali pandang ke kotak. Soal pemberian dan bayaran tadi, saya abaikannya waktu ini.
Dalamnya terdapat patung arnab warna hitam.
“Comel…”
“Kau macam tak suka je?”
“Aku suka.” Saya senyum dan kembali menutup kotak tadi, “terima kasih.”
Hakikatnya saya bukanlah peminat patung-patung atau softoys atau apa. Tetapi apabila ia dihadiahkan sebegini rawak, jiwa keperempuanan saya cukup bersorak. Sekali sekala bila dihargai dengan cara yang begini, ia berikan saya kepastian bahawa saya masih lagi seorang gadis normal dan orang di sekeliling saya memandang saya normal.
Bukankah itu yang kita mahukan? Bersaing siapa yang paling normal dan bosan di dalam dunia ini?
“Okay tapi aku tak kisah kalau kau taknak pun arnab tu.”
Saya pandang bingung, “aku tak faham.”
“Aku lebih pentingkan riben tadi. Berbanding mereka yang lain biarkannya jatuh ke tanah, kau cabut dan simpan.”
“Sebab riben tu macam penting. Lagi-lagi ianya…”
Warna merah. Saya seolah faham dan dia sekarang ini mengangguk seperti sedang baca fikiran saya.
“Farah,” dia dekatkan diri ke saya, “aku nak lamar kau jadi isteri aku.”
Saya terdiam. Kotak tadi semakin berkerut di sisi dengan pegangan kuat dari saya. Segalanya agak pantas dan dalam masa yang sama ia juga lambat. Cukup lambat untuk berikan saya tekanan sekiranya saya tidak lakukan apa-apa untuk bertindak, adegan ini bakal menelan saya jauh lebih dalam.
“Kau pilih aku sebab aku simpan riben merah tu?” aku lengahkan masa, “tapi kau kata kau juga berikan kepada orang lain hadiah kan? Buat benda yang sama kan?”
Dia pandang mata saya tajam dan menerus. Dia seolah mengkaji jiwa saya yang lebih dalam. Saya mula perlahan berpeluh.
“Tapi aku kasi mereka riben putih dan kotak merah.”
Saya tak mampu buat apa melainkan elak matanya dan senyum.