Pendengar

“Hello,” nafasnya kuat, “boleh saya bercerita?”

Itu permulaan kepada perbualan pendek saya dengannya di telefon semalam. Ia berdering ketika saya sedang tonton filem anime Children Who Chase Lost Voices di komputer. Sudah tentu saya ambil masa untuk menjawabnya kerana saya bukanlah jenis yang suka berbual dalam telefon; tak suka cerita kosong yang meleret. Sebab itu saya lebih suka guna mesej teks. Jika rasa perbualan kami sudah tak relevan dan melalut, saya akan abaikannya.

Mungkin sebab itu ramai yang kata saya sombong, kedekut kredit, bajet, poyo, berlagak, bosan…

Seorang gadis yang saya tak kenal. Saya ambil masa untuk pastikan suaranya dengan beberapa suara rakan atau kenalan saya sebelum tetapi dalam proses rujuk silang dalam kepala tersebut, saya ditarik masuk dengan ceritanya kemudian.

“Saya nak awak letakkan diri awak dalam diri saya.” Dia kata.

“Hah?”

“Awak berjalan seorang diri di taman pada waktu malam. Cahaya kat sana agak samar-samar. Bukan sebab lampunya kelam, tapi sebab pokok yang tinggi dan besar halang cahaya lampu tadi. Awak ambil masa berjalan dalam kelajuan sendiri. Ada masa cepat, ada masa lambat. Mata awak hanya pandang  lantai sebab kalau awak pandang depan, awak tak nampak apa. Awak tak nampak mana hujung. Dan bila awak tak tahu kat mana hujung, awak tak tahu bila awak akan berhenti.”

Siapa je yang jalan kat taman waktu malam? Saya diamkan diri memikir. Dalam masa yang sama, saya cuba tutupkan mata dan cuba bayangkan diri saya seperti yang diceritakannya; cuba letak diri saya dalamnya.

“Kemudian dalam beberapa langkah, awak ternampak satu bangku kosong. Eh bukan. Bila awak pandang kali kedua, rupanya ada orang kat sana. Jadi awak—”

“Kejap,” saya sandar di dinding bilik, “orang tu lelaki ke perempuan?”

“Kenapa?”

“Kenapa apa?”

Ada ruang senyap yang janggal dalam lima saat, “kenapa kena tahu lelaki ke perempuan?”

“Erm, sebab saya nak alami cerita awak tu. Perinci ni penting kalau tak nanti rasa macam ada lopong. Pengalaman saya dengar cerita awak terganggu.”

“Macam tu baik tanya saya kat mana taman tu, lampu tu warna apa, awak pakai baju apa, kasut—”

“Okay,” saya berdehem serius, “teruskan cerita.”

“Mulanya awak abaikan orang tadi dan teruskan berjalan tapi macam ada sesuatu dalam diri awak yang memanggil untuk tegurnya. Jadi awak pun perlahan berpatah balik dan dekatinya perlahan-lahan. Satu demi satu tapak dengan fikiran yang teragak. Awak—”

“Kejap. Ni bukan cerita hantukan? Sebab awak call waktu malam macam ni mesti nak prank ke apa.”

“Bukan.”

Saya dengar mengeluh pada hujung perkataannya tersebut. Hanya diam dan kecilkan mata – kembali fokus mendengar.

“Awak pun berdiri kat belakang dia. Awak kat hai secara ramah. Dia terkejut dan pandang awak kembali. Bila awak berjalan ke depan, awak perasan sesuatu.” Dia ambil nafas, “dia seorang perempuan dengan pisau di tangan.”

“Tadi kata tak penting lelaki ke perempuan,” saya senyum lebar, “ni mesti improvise bila kena tegur tadi.”

Dia senyap beberapa saat.

“Jadi awak pun tanya dia siapa dan kenapa pegang pisau kat taman waktu malam. Dia tak jawab apa-apa tapi awak perasan yang matanya perlahan berair. Dia menangis. Awak dalam keadaan yang tak tahu apa dan bersalah pun cuba tenangkannya dengan tanya kenapa. Tapi tu bukan caranya. Orang selalu silap. Mereka ingat bila nampak orang tengah sedih atau murung, kenapa tu adalah soalan ambil berat. Tetapi apa yang diperlukan adalah ruang. Tengok dan faham bagaimana—”

“Tapi kan,” saya kembali mencelah, mendegar satu hala bukan cara saya, “macam mana nak faham kalau boleh tengok je? Maksud saya, itu juga apa yang orang tak faham. Mereka ingat dengan pendam dan berahsia boleh bagitahu satu dunia tentang masalah mereka tapi hey, manusia bukan makhluk psikik kot.”

“Tapi saya cakap dalam konteks masa tu. Awak baru jumpa dia, mana boleh terus tanya kenapa. Siapa pun awak tak kenal. Awak ingat senang ke nak cakap dengan orang asing?”

“Habis tu,” saya kecilkan mata, kali ini dalam keadaan bingung, “yang awak tengah buat dengan saya sekarang ni apa?”

Lepas saya keluarkan soalan tersebut, dia terus putuskan talian dan sampai sekarang dia tak hubungi saya lagi. Entah kenapa, saya rasa ianya seperti suatu kerugian.

Mungkin itu juga salah satu sebab kenapa saya lebih suka mesej teks.