Jangan

Kita rasa kita kenal kematian. Kita cukup dekat dengannya hinggakan ada sesetengah dari kita yang mula dambakannya seperti memeluk bantal kegemaran sendiri pada waktu tidur malam. Kita mula meraikan fikiran tentangnya, hari-hari, seperti rutin bernafas. Mata kita penuh dengan makna-makna penamat, tidak lagi berkaca cerah apabila menyapa orang yang kita kenal seperti dulu. Jasad kita secara automatik akan bergerak di sudut ketika majlis keramaian, untuk berikan peringatan kepada mereka (yang peka) tentang lambaian terakhir kita sebelum menjadi sejarah.

Namun apabila waktu tersebut muncul, kita jadi teragak. Mendepani kematian bukanlah permainan kanak-kanak atau sebuah pilihan mudah untuk bancuh teh atau kopi pada waktu pagi. Ia terlalu sukar hinggakan kita nampak garisan perantaraan antara dunia sini dengan sana menjadi terlalu tebal. Langkah kita menghadapi akhir menjadi berat dengan nafas yang tercungap penat. Kita tanya diri kita kenapa ia meletihkan? Maksud kita, ianya sudah beberapa bulan atau tahun kita meletakkan idea kematian sebagai sesuatu yang utama – kita sebenarnya secara tidak sedar sedang melatih diri kita untuk berkata hai kepada mati. Tetapi walaupun betapa kita sudah bersatu dengan ideanya, kita masih tahu jurang tersebut terlalu besar dan menyeramkan.

Sebab itu mereka sangat salah apabila mengatakan untuk mati adalah pekerjaan yang mudah. Saya percaya, dan berharap kita semua akan percaya, bahawa kesukaran kita mendepani kematian tadi adalah kerana jiwa kita lebih kenal dengan isi dunia; kita masih ada harapan untuk berlawan menentang raksasa dalam diri ini dan mewarnai langkah kita dengan warna selain hitam.

Buat saya dan anda, bertabahlah.