Jelajah

Hari itu ada seorang rakan yang bertanya tentang bagaimana keadaan diri saya sekarang ini ketika sesi lepak di kedai kopi. Jawapan saya mudah dan pantas, sederhana dan normal. Lalu dia bangkit dengan gaya tangan condong ke atas menghala suatu arah yang tidak pasti, kau kena menjelajah ke tempat asing untuk raikan pengalaman yang seronok. Waktu tersebut saya terus abaikan dirinya dan melihat sekeliling – pastikan tidak ada sesiapa janggal dengan aksinya yang persis watak utama dalam manga shounen itu.

Jelajah.

Ia cukup menyeronokkan, sudah tentu, saya sendiri mempunyai impian untuk keluar dari negara ini dan raikan kepelbagaian di luar sana. Percayalah, menjadi seorang yang menulis dengan beribu persoalan tentang sifat dan nilai kemanusiaan sejagat, perjalanan keluar dari sini adalah seperti melangkah ke sinar ilmu pengetahuan dan kefahaman. Bagaimana cara mereka makan? Adakah sama seperti kita yang kebiasaannya menggunakan tangan? Bagaimana dengan sapaan mereka? Adakah ramah dan terbuka, atau terkawal dan tertutup? Bagaimana mereka marah? Adakah mereka memilih untuk lepaskan segalanya dengan perlakuan fizikal atau senyum mengabai dengan dendam kesumat yang ditanam rapi?

Segalanya adalah jawapan di luar sana.

Malangnya, kawan saya tidak tahu. Dalam saya duduk membaca getaran pada permukaan air kopi, saya sebenarnya sedang berada dalam penjelajahan saya sendiri. Sudah tentu, ianya bukan penjelajahan ke tempat asing atau negara luar. Saya sebenarnya sedang melangkah tapak demi tapak di dalam jiwa saya sendiri. 20 tahun hingga ke hari ini, saya masih tidak faham dengan diri sendiri; tentang bagaimana saya memilih untuk membuat keputusan, bagaimana saya mengawal keinginan yang membuak, bagaimana saya alihkan pandangan dari penyesalan silam, bagaimana saya memaafkan kejadian sebelum yang tidak berlaku adil kepada diri saya. Gabungan semua persoalan ini bukanlah dataran yang finit (untuk masa sekarang) kerana saya masih tak mampu sampai ke ufuk hujungnya. Setiap kali saya mendongak dan kecilkan mata demi sebuah pandangan yang tajam ke sana, ia bertambah jauh dari hari ke hari. Dari berjalan, ke berlari, ke merangkak, sebelum jatuh ke lubang rawak dan menyelam pada lautan dalamnya; saya mula hilang bayangan tentang kediaman sebenar.

Atau sebenarnya saya takut sekiranya saya memilih untuk menjelajah ke luar, saya seperti mengelak untuk tahu kebenaran tentang saya sendiri. Seperti yang dikatakan oleh seseorang yang saya pernah jumpa ketika penjelajahan dalam diri sendiri ini, Hanya ada satu pilihan; kau tak boleh keluar dan masuk sekaligus. Dan sekali kau mulakan langkah, jangan berhenti dan lihat belakang.