Ditamatkan dengan Betul.

Saya pernah cuba untuk ubah seseorang menurut acuan keinginan sendiri, yang mana, akhirnya ia menjadi sebuah bencana.

Saya kira itu seperti suatu kerja tuhan. Mungkin ia bukan seberat mewujudkan spesis baru (saya skeptik pada teori natural selection) atau mencipta wabak penyakit yang penawarnya adalah misteri, atau membunuh galaksi-galaksi di alam semesta luar sana. Tetapi percayalah, untuk mengubah seseorang itu sendiri ada beban dan kesan yang melampau.

Bagaimana yang melampau?

Saya cuba letakkan diri saya searas dengannya. Kami meraikan minat yang sama pada awal, dan kemudian cuba untuk hormati perbezaan yang ada; mencari garis tengah antara -1 dan 1. Mudah bukan? Lagi pun angka 0 itu sendiri wujud dalam susunan nombor. Kita hanya perlu menjeling pantas dan voila, hey itu 0! Itu neutral!

Malangnya apa yang kita tahu hanya angka itu sendiri. Dalam kehidupan, nilai 0 bukanlah benda yang datang serentak dengan angka tersebut. Maksud saya, kita boleh abaikan gembira dan boleh abaikan sedih; semua orang lakukan ini. Tetapi ada suatu benda di dalam diri kita yang sedar bahawa garis tengah ini sangat menipu. Ia seperti kita cuba untuk jadi manusia yang malas mencari pahala dan mengelak dari buat dosa, seperti cuba untuk bertanya, wahai tuhan sekiranya aku tak baik dan tak jahat maka ada tak tempat istimewa untuk aku tinggal selepas hidup ini nanti? Kau tahu, taman tengah antara syurga dan neraka?

Ia bermula begitu pada awal. Saya cuba untuk bentukkan seseorang tadi dengan menerima dirinya seadanya. Saya masih ingat bagaimana dia katakan yang dirinya tak pernah sempurna, bagaimana dia cuba katakan yang dirinya rapuh. Saya ambil ia sebagai suatu kata dengan makna yang berat, bertujuan lebih dari melihat – cuba untuk bantunya sekali supaya mampu menerima diri sendiri.

Ia berterusan dengan ayat yang begini: jika kau ingin kekal, maka teruskan. Jika kau ingin pergi maka pergi.

Waktu ayat tersebut keluar, saya tak tahu apa yang saya rasa. Ia terlalu laju dan halus untuk kepala saya hadam. Atau mungkin, kepala saya mampu hadam tetapi jiwa saya menjadi bingung. Dia tak boleh katakan begitu, maksud saya, dia sendiri pernah katakan yang dirinya rapuh. Jika saya tak ada di sisinya maka bagaimana dia ingin kuat?

Dia teruskan dengan ayat tersebut. Dan saya tak ada peluang untuk berkata begitu. Kerana saya sedar ini bukan masanya untuk saya memikir. Lagi pun bukankah saya dah pilih untuk ke jalan ini dulu? Nak atau tak, dia terlalu penting. Maka saya memilih 0 itu tadi. Biarkan dirinya, cuba untuk jauhkan diri tetapi dekat, terima dengan keputusannya walaupun saya menentang. Hormati perbezaan bukan?

Dan suara saya mula tenggelam dengan persoalan yang terlalu banyak. Ia mula goyah.

Makin lama, keadaan semakin teruk. Ketika dia duduk membaca di depan, saya mampu lihat imej latar belakang sebuah bangunan yang runtuh dan debunya tadi menutup sisa-sisanya yang berderai di darat. Saya nampak ke mana ini semua akan pergi. Hey, saya lakukan kerja tuhan untuk mengubah seseorang bukan? Maka saya nampak bagaimana ia akan berlaku sekiranya semuanya tidak jadi seperti yang diinginkan.

Seperti sebuah doa dalam suara yang kusut, ianya tamat. Saya ketawakan pada diri saya sendiri sebenarnya. Bagaimana saya tahu yang saya tak terlalu kuat untuk mengubah dirinya, bagaimana dia sentiasa menolak saya kerana dia rasakan dia menghancurkan diri saya, bagaimana dia ada sinar harapan dari panggilan silam.

Saya hentikan mengubah dirinya. Dan waktu tersebut saya sedar, sekarang ini dia yang mengubah diri saya.

Aku nampak diri aku yang lama pada kau, dia kata sebelum buat keputusan yang terbaik; berpaling dan pergi meninggalkan saya.

Jujur, ia menyakitkan tetapi saya cukup lega dia memilih itu.