Pencerita

Saya rasa ianya adalah satu kurniaan terbesar untuk berani bercerita di hadapan khalayak ramai. Untuk berdiri sambil mata-mata asing memerhati dan dalam masa yang sama menyusun perkataan di ruangan kecil adalah menyakitkan. Saya pernah dalam keadaan tersebut, akhirnya saya kalah; melencong ke hal-hal peribadi yang sepatutnya kekal ditanam dalam jiwa.

Mereka seperti ada kuasa menyuburkan dendam-dendam lama yang tersirat.

Jadi suatu hari saya pergi ke rumah kawan pencerita saya, E. Dia kata, kau tak perlu terburu-buru untuk tunduk dengan tangan menadah mereka, sambil menggulung rokoknya, walaupun seperti seorang yang bertertib dengan keinginan untuk tahu yang dahsyat, mereka tak lain seperti haiwan liar yang mencari anggota terlemah kau. Saya diam dan menulis dalam buku nota akal – kami berdua pencerita maka untuknya tahu saya sedang ambil serius dengan katanya adalah satu jenayah ego.

Itu apa yang mereka inginkan dari seorang pencerita, saya kata seperti memulakan debat walhal saya sebenarnya ingin tahu lebih dalam.

Dia memandang saya dengan mata sinis yang gelap dan keluarkan pemetik api dari poket baju atas. Masa beberapa minit memakan diri saya dalam kesenyapannya. Saya perlu kawal untuk tak kelihatan seperti terdesak.

Ini kerana dalam dunia tukang cerita, kisah kami adalah senjata utama. Bagaimana baik pun medan perang yang kami cuba tetapkan untuk masuk, ia tak pernah akan membantu. Segalanya akan runtuh dengan kehadiran tentera-tentera kami. Kebanyakan tukang cerita akan cipta tentera yang sempurna, sebelum melepaskannya ke lohong duri yang bijak untuk kisah yang baik. Ada antara kami yang lebih nyata, meletakkan tentera yang bercacat-cela sesama sendiri, dan dari itu simpati awam mula memainkan peranan terpenting mereka. Ia seperti menarik awam untuk percaya tentera tersebut adalah seperti mereka; ada isteri, anak, kucing perliharaan dan ladang anggur di kampung yang nyaman.

E tepuk bahu saya. Mata saya berkelip pantas terkejut.

Mungkin sebab kau bercerita terlalu jujur, kau tahu, untuk olah kembali penyesalan lampau kau dan fantasikan ia sebagai pilihan terbaik kau dalam dunia. Saya hanya setuju dalam diam, tentera saya sememangnya berwajah seperti saya. Tetapi itu yang terbaik dalam dunia cerita, saya kata, benda yang jujur adalah dambaan bagi setiap umat manusia di sekeliling – tanpa kejujuran, ia hanyalah patung polisterin yang tak tahan api!

Paling kurang ianya adalah polisterin memberi masa kepada kita untuk merasa bahang, beliau hembuskan asap rokok dengan lentikan tangan elegannya buat imej menjadi jelek, berbanding kejujuran yang sememangnya api itu sendiri; kau rentung dengan cerita sendiri sebelum mereka datang dan hembus, mengarahkan maraknya.

Saya kembali diam dalam tak puas hati. Bercerita dengan kisah palsu adalah seperti penipuan kepada awam – ia hanya ambil masa sebelum mereka tahu betapa ceteknya kebenaran dalam dunia ini.

Dia perasan dengan riak saya sebelum tersenyum melayan. Saya tak suka dengan jawapannya tersebut. Ia agak menyakitkan. Maksud saya, kemanusiaan sudah lama akan runtuh tanpa kejujuran bukan?

Dia bangkit dari kerusi sambil menggeleng kepala dengan gaya yang kasual. Hey, siapa kita sebenarnya? Manusia yang diupah untuk membawa awam berjabat dengan tangan malaikat dan bukakan pintu syurga demi langkah mereka bertemu tuhan yang tengah tersenyum lebar?

Dia gelak sebelum susuknya hilang masuk ke dapur belakang.