Hari itu saya meraikan teman, dengan rakan-rakan sekelas saya sudah tentu, yang mana kini mereka masing-masing sudah melangkah ke laluan sendiri dalam hidup.
Saya jenis yang terperap di dalam rumah dan lebih suka bersendiri. Jadi ianya agak masuk akal untuk putuskan masa terbaik untuk bertemu adalah pada lewat malam (selain dari kelas dan kerja mereka pada waktu siang) kerana bagi saya, malam adalah waktu yang paling jujur untuk hari-hari biasa – kalau kita ambil masa untuk melihat dengan mata yang terdalam, kita mampu lihat bagaimana jiwa-jiwa awam mula keluarkan diri masing-masing dari kesibukan menjadi hamba dan mesin pada siang hari, mengambil alih kelakuan, percakapan, setiap perinci dari kita.
Hey, kita jadi manusia yang sebenar manusia!
Saya namakan malam adalah fasa bebas. Erm, ia taklah terlalu bebas; kebanyakannya terperangkap pada waktu ini kerana mereka memilih untuk hidup dalam kesibukan siang, anda tahu, untuk melupakan beban-beban emosi lain.
Jadi kami mulakan dengan perbualan biasa mengenai keadaan semasa masing-masing. Saya tak berikan apa-apa jawapan yang meyakinkan selain dari mengatakan sedang menjadi aktivis dalam sembunyi, menulis sajak demi mengutip kembali kemanusiaan yang orang selalunya campakkan ke tepi lorong-lorong kehidupan – berbunyi agak serius, tetapi percayalah, saya hanya berlawak.
Realitinya saya seorang penganggur. Sebab itu saya suka ketawa ketika awam bertanya tentang kerjaya masa depan, atau calon isteri akan datang. Bukankah itu yang terbaik? Untuk ketawa bersama masalah dan jangkaan sudah buatkan ia 10% ringan dari kesakitan menaggung beban asalnya. 90% yang lain? Itu bergantung kekuatan seseorang.
Kami bergerak dari soal semasa yang bosan dan perlahan masuk ke cerita-cerita yang lebih dalam dan intim. Soal peribadi masing-masing mula mengambil alih. Untungnya menjadi seorang introvert, saya lebih suka diam dan mendengar; mengelakkan keadaan yang terdedah.
A mula berkata mengenai seseorang ahli kelas kami yang meluahkan bagaimana dia tak pernah suka dengan perangai si A ini pada awal semester dulu. Kawan B yang duduk di sebelah kiri saya beritahu sesuatu tentang bagaimana manusia sering meletakkan imej dan sifat searas walhal ianya tak pernah berkait, yang mana mengingatkan saya tentang kata Rust Cohle, semua orang akan menilai, dan kalau kau tak boleh terimanya itu bermakna masalahnya pada kau, bukannya mereka.
A kemudian bercerita mengenai seseorang yang undurkan diri dalam hidupnya secara tiba-tiba dan pantas (dia agak aktif bercerita pada hari itu, mungkin gula dalam air sirapnya) tanpa perasaan, seperti kes hari ini kita kawan, esok kita orang asing; kisah yang saya agak kenal. Sudah tentu ia melibatkan seseorang yang lebih dari kawan, seorang gadis yang cukup rapat dengannya. Saya tersenyum memikir, anda tahu, kalau wanita sering katakan lelaki mampu menyerang fizikal mereka, mereka harus sedar bahawa mereka mampu hancurkan jiwa lelaki. Lelaki panas, perempuan dingin; kombinasi yang cukup sempurna saya rasa. Dan waktu tersebut hati saya meraung untuk menyalahkan kawan perempuannya tadi tetapi pada garis realiti, saya tak pernah tahu siapa yang bersalah. Kisah yang saya kenal tadi berakhir dengan seorang yang terus tersangkut dalam kehidupan yang agak gagal, dan lagi seorang berjaya dalam meneroka hidup bersama orang lain. Abaikan keadilan, ianya kisah tak penting.
Kami kemudian teruskan perbualan dengan benda-benda yang rawak sebagai filler akhir sebelum kembali pulang ke rumah masing-masing. 5 tahun agak lama bila difikirkan kembali. Kalau dulu perbualan kami hanya berkisarkan filem-filem di panggung, atau game yang baru, atau event-event seni hip, atau anime yang menarik, kini ia lebih kepada rasional kehidupan.
Mungkin kesedaran kami berevolusi menurut usia. Lagi pun bak kata Socrates, kehidupan yang tak dikaji/difikirkan adalah kehidupan yang tak berbaloi bukan?