Entahlah.

Saya percaya dengan peti halimunan yang sentiasa berada di sekeliling kita semua. Ia cukup besar tetapi kecil, bersatu dengan udara sekitar dalam warna lutsinar dan sentiasa bertampal poster JANGAN DEKAT di tiap atas sisi permukaannya.

Jangan dekat, jangan langkah.

Apa yang merisaukan saya adalah beberapa orang tertinggi (dari ilmu dan pengalaman, konon) yang saya kenal selalu gunakan alasan peti tersebut untuk terus selamat. Mereka sering anggap peti itu adalah sfera bumi yang bekalkan oksigen untuk bernafas dan sekiranya kita keluar maka kita akan mati dalam keadaan yang ngeri sebelum mayat kita akan mereput tanpa khabar. Adakah ianya benar? Maksud saya, apa yang mereka percaya tersebut, adakah ia telah terbukti?

Saya sedang menonton tentang seorang yang berkata tentang sastera dan garisan putih yang penulis perlu duduk menurut dalamnya seolah kampung Wall dalam Stardust dan beliau ialah orang tua yang menjaga tembok tersebut.

Saya perlu beritahu ini kerana awam selalunya memikirkan runtuh adalah tamat, jatuh adalah mati – ia tak pernah begitu. Kita terlalu takut dengan kebebasan kerana kita percaya naskah sastera adalah penyebab kepada dosa umat walhal ia sekadar bisikan malaikat/syaitan dalam tona suara yang lembut. Akhirnya iman dan rasional kita yang tentukan ia. Itu adalah perkara yang normal, jika ada tulisan terang maka sudah tentu ada tulisan yang gelap. Kitaran tersebut akan terus berputar dari masa ke masa, menimbulkan persoalan demi persoalan yang mana kita tak perlu takut kalau hari-hari kita sering teriak soal kebenaran dalam dada.

Untuk patuh tanpa soal itu adalah sesuatu yang gagal. Kita sepatutnya beriman kerana faham, kerana tahu kebaikan yang wujud darinya.

Paling kurang kita boleh bersedia bukan? Bawa tong oksigen dengan beg beroda, buka pintu peti dan amati pengembaraannya, bro.