“Selamat tinggal,” bisiknya mendayu, hujung tangan saya menggeletar, “saya akan pulang bila awak mahu terima saya kembali.”
Saya masih ingat kata terakhir yang diri saya ucapkan ketika waktu dulu. Ianya samar-samar tetapi saya masih mampu kurung sedikit bayangannya di dalam kepala; tentang bagaimana dunia tak lagi berbahasa dengan cakap-cakap saya, tentang bagaimana perilaku mereka tak lagi searas dengan kefahaman saya, tentang bagaimana separuh diri saya hilang dalam tiba-tiba. Pantas dan tenang – ia ambil masa beberapa tahun sebelum saya mula sedar saya tak lagi saya yang dulu.
Itu apa yang saya impikan pada setiap siang hari. Ketika saya buka mata dan dibentangkan siling bilik yang bercorak bunga kecil, saya akan biarkan memori saya bangkit dari tidur dulu. Sebuah proses yang agak menyakitkan pada awal, kini saya sudah biasa dengannya. Ia akan terbang sekeliling bilik, menyinggah pada setiap ceruk-ceruk lama seperti beg yang berconteng lambang pangkah ketika saya acah-acah Straight Edge dulu, draf-draf rekaan senibina yang lama dengan konsep dan buih-buih zon public/private bagai, dan akhirnya ke nota-nota rawak lama yang kami berkongsi. Nostalgia yang setiap hari saya akan sapukan debunya supaya bersih dan berkilat.
Kenapa saya lakukan itu? Saya, erm, tak pasti.
Mungkin saya terlalu mempunyai masa lapang. Mereka kata apabila saya biarkan kesibukan pergi, saya akan tersangkut dalam emosi. Jawapan saya, entah.
Namun saya bersyukur kerana semangat sentimental ini buatkan saya mampu menaip beribu-ribu perkataan sebelum tutup kembali program Word tanpa menyimpannya. Ianya buatkan saya berani untuk mencipta dunia baru dengan peraturan fizik yang ditetapkan saya sendiri, dengan sesiapa saja yang saya boleh hidup atau matikan, dengan menyelesaikan soalan-soalan berat dengan idea sesuka hati sendiri – di dalam teks, saya tuhan.
Tetapi suatu hari itu, ada sesuatu yang menjemput dengan tangan yang mendepa ke depan – seram tetapi ramah. Saya ikutinya jauh, langkah demi langkah sehingga sampai ke suatu tempat yang saya sendiri tak mampu cari jalan keluar.
Ketika itulah ucapan tersebut muncul: selamat tinggal diri sendiri, saya akan pulang bila awak mahu terima saya kembali.