Bertarung Pengadil

Suatu hari nanti anda akan bertemu seseorang yang luar biasa – ini kali pertama anda rasa begini – dengan setiap susuk bayangnya anda cuba hafal, setiap gestur kecil yang tersorok dalam lakuan rutin, setiap tekanan bunyi pada suara bercakap. Anda tak faham kenapa ianya memancar jelas pada diri sendiri tetapi anda cuma tahu yang setiap perinci tersebut cukup penting.

Jadi anda tanya diri sendiri, kenapa dia luar biasa? Berkurung dalam bilik dengan beberapa kali melawat laman facebook atau twitternya, anda cuba salin alamat emelnya dan google jika dia mempunyai kamar-kamar terdalam seperti blog teks maya, atau online portfolio yang terkandung kerja peribadi, atau koleksi vlog yang dimuatnaik di youtube; anda memakai jubah penghendap demi mencari sesuatu yang lebih jelas.

Hey stalker, anda cuba kenalnya dengan tidak berjumpa.

Kerana anda tahu, setiap kali dia duduk di sebelah sana, anda bakal jadi tidak selesa. Bunyi nafasnya cukup kuat menegur, dengan perasan yang dia sedang merenung anda walhal ia tak pernah jadi begitu. Anda dalam fantasi anda sendiri, mencipta dirinya yang duduk bersila dalam satu semesta anda.

Hari demi hari berlalu dan anda cuba ikut setiap geraknya.

Setiap kali anda bangun pagi, benda pertama yang anda cuba lakukan adalah senyuman rutin menjemput memori semalam. Tentang bagaimana dia masih kekal dalam kotak kepala anda walaupun sudah berhari dia tidak muncul di paksi realiti. Berbunyi agak cheesy, tetapi itu sesuatu yang bukan dalam kawalan anda. Kalau ada pun, ia hanya ego anda yang menentang perlahan dengan berikan sesuatu untuk alihkan pandangan anda: seperti memandu di lebuhraya pada tengah malam, mendengar lagu-lagu classical, membaca cerpen-cerpen rawak, dan paling mudah, tidur – mengelak benda yang anda tidak faham.

Hinggalah suatu hari anda rasa permainan anda perlu ditingkatkan lagi. Membayangkan sesuatu yang jauh sedangkan ia cukup dekat untuk dicapai agak menyakitkan. Anda mula berdepan dan berkenalan dengannya, cuba menurut setiap gayanya, laraskan bahasa anda supaya selari dengannya, dan kurung diri anda dalam bekas jangkaannya.

Semuanya bermula bagus sehinggalah permainan tadi berubah; anda mula sedar yang dia bukanlah pemain, dia sebenarnya pengadil.

Maka anda terperangkap dalam perjudian diri sendiri. Tidak ada kalah – anda tambahkan daya, menjerit lebih kuat untuk bersorak semangat sendiri, menutup bayangnya dengan bayang anda, dan akhirnya meminta sesuatu yang lebih untuk menjamin. Hey, dia pengadil, anda pemain – dan anda harapkan sesuatu yang lebih?

Anda gelak pada diri sendiri ketika susuk sendiri hilang dalam padang, dikerumun beribu penonton luar yang bersorak entah apa – tidak termasuk pemain baru yang diperkenalkan seperti babak ujibakat program realiti.

Hey, cuba pandang betul-betul di tangannya. Bukankah ada piala di situ? Tiada? Oh saya silap, mungkin dia sendiri adalah piala tersebut.

Macam mana saya tahu? Sebab saya pernah jadikan padang permainan tersebut sebagai kediaman sendiri. Hingga sekarang, saya masih lagi tidak ada suara untuk bercakap kasual seperti dulu, tidak ada tenaga untuk permainan seterusnya. Semuanya berhenti, dan jika anda tanya, saya tidak kisah begini.

Kerana itu saya menulis. Kerana itu anda tahu, teks ini buat anda.