Untuk hari-hari biasa, malam adalah waktu segala persoalan akan mula bermain sesama sendiri di dalam kepala saya dalam bentuk teks 2D yang yang berteman imej kesal silam berhitam-putih atau jangkaan masa depan yang kabur. Waktu ini, saya akan bersandar pada kaki katil dan melihat tingkap yang terbuka dan cuba mencari ruang disebalik bangunan yang menghalang untuk sedikit cahaya dari bintang atas.
Nyaman – mungkin berteman bintang adalah cara terbaik untuk berdepan persoalan yang tidak berbatas.
Dan malam tersebut, saya tertanya soalan ini; siapakah saya tanpa keinginan? Maksud saya, tanpa sebarang tujuan melainkan untuk terus bernafas bersama mereka.
Kerana saya percaya sesuatu: manusia semuanya sama. Bagaimana kita memilih untuk percaya bahawa setiap dari kita adalah unik, kita masih lalui proses yang sama – wujud dalam dimensi yang sama, berdepan celaka yang sama, lahir dalam proses yang sama, tamat pada makna mati yang sama. Jadi adakah seseorang itu mampu mengelak dari bermimpi dan pilih untuk berdiri pada garis tengah (antara mencari dan membiarkan) setiap masa? Sekiranya saya mampu lakukan itu maka ia tidak ada masalah untuk saya bersatu dengan awam. Ironi bukan? Ia sememangnya begitu. Apabila saya percaya kita semua adalah sama, akal dan hati saya automatik akan tidak menerimanya; ia tidak bergerak seiring begitu.
Dilemma suku usia?
Jadi saya mula letakkan kembali tapak ke tempat asal. Dari seorang pemuda yang dangkal tanpa sebarang ilmu dan bertanya pada perspektif yang terawal tanpa bias: siapakah saya tanpa minat?
“Sekadar susuk yang tertanam dalam banjir kesibukan awam,” seluruh zarah yang membentuk diri saya menjerit, “dan jeritan yang terapung dalam kesenyapan.”