Baginya, kejutan akan tiba bila ia ingin tiba. Dalam masa yang sama dia hanya bernafas menjalani hidup seharian seperti biasa – aktiviti berulang dengan masa yang beralih sedikit tetapi masih dalam jajarannya. Maka dia bangun pagi, buka komputer, menghadap beberapa blog dan artikel, membaca buku dari rak sederhananya, makan, cucuk earphone dan pasang nada-nada ambient-folk atau dreamy-pop, menulis beberapa teks kreatif dalam buku nota. Dunianya berputar pada paksi yang kekal; bagaimana banyak reaksi fizikal yang berlaku sekitarnya, hidupnya masih sama menelan rutin.
Saya pernah tanya dia tentang ini (sesi kopi pada petang hujung minggu) secara berlapik. Entah kenapa, saya rasa lelaki pertengahan 20an seperti dia ini berbeza dengan saya dan mereka yang lain. Dia lebih sensitif, saya fikir, sebelum akal saya membantah, dia tak terikat dengan sekitar maka teori sensitif itu sudah disangkal awal; selain dari kopinya juga dibancuh dengan gula tanpa susu (mereka katakan black coffee ini minuman lelaki kental), dia juga menghisap Benson & Hedges yang keras rasanya.
Dia katakan bahawa dia sendiri tak ada idea tentang perjalanan hidup dan masa depannya. Persis Toru Watanabe, beberapa kawannya katakan dia bakal menjadi seorang penulis kerana selalu berdamping dengan buku dan menulis dalam buku nota tetapi hakikatnya dia tak ingin jadi apa-apa dalam hidup. Maka saya bertanya tentang jangkaan dan keperluan akan datang yang lain, anda tahu, seperti duit menyara hidup dan bakal isteri. Responnya seperti biasa selamba dan mudah; entah, tak fikir, dengan muncung dan mata kuyunya.
Saya rasa dia terlalu santai, laidback. Tetapi saya tahu dia lebih sedar dari itu sebab dia jenis yang membaca. Beberapa orang lain yang membaca selalunya lebih peka tentang bagaimana dunia ini bergerak dan bagaimana sistem hidup berfungsi – ilmunya saja mungkin lebih dari saya.
Selepas beberapa soalan tersebut, saya biarkan udara menutupi akal kami yang merewang bersendiri. Saya perasan dengan matanya yang memandang tepat ke bayang-bayang gazebo di depan rumahnya. Seolah menekap garisan luar permukaan gelap tersebut dan melukisnya kembali dengan menggunakan pensel maya secara perlahan. Ada sekali dua saya tergelak sendiri apabila melihat riak mukanya yang seperti tak ada perasaan dan lesu. Hey, kau bawah pengaruh kopi, bukannya kokain.
Dia pandang saya dan bertanya tentang bagaimana cara terbaik untuk demamkan diri sendiri. Saya berikan idea mudah dengan bermain hujan namun dia tak kagum dengannya. Aku perlukan sesuatu yang lebih pantas dan memaksa, dia kata sebelum bandingkan idea tentang bagaimana sistem pertahanan dalam badan berfungsi. Dia perlu masukkan sesuatu yang asing (seperti bakteria) ke dalam badan. Badannya akan kesan benda asing tersebut lantas suhu badan akan dinaikkan bagi membunuh benda asing itu. Saya tergamam dengan ideanya tersebut kerana itu lebih tak masuk akal. Dia hanya ketawa.
Sebenarnya saya tak kisah tentang bagaimana. Saya lebih berminat dengan kenapa.
Dia nyatakan bulan depan merupakan majlis konvokesyennya. Sudah tentu saya berikan tahniah dan senyuman lebar demi reaksi normal seorang kawan tetapi dia masih membalas dengan muka lurus dan mata kuyu. Dia ingin elak untuk hadir ke majlis tersebut – sebab dia malas. Berbanding ibu bapanya yang semangat, malas bukanlah alasan terbaik untuk raikan pencapaian besar dalam hidup, saya kata. Dia ubah jawapannya kepada majlis tersebut bosan dan lama, selain dari ramai awam di sana yang bakal buatkan tempat tersebut sesak. Dia takutkan ruang yang sesak. Saya hanya menggeleng apabila faham dengan senyuman menipunya tersebut.
Kami habiskan sesi petang tersebut dengan menonton beberapa budak kecil bermain bola di laman tengah depan rumahnya. Sebelum balik, dia memanggil saya dari belakang dan katakan ungkapan biasanya.
Kejutan akan tiba bila ia ingin tiba.