Rasional Ngeri

“Kau tahu,” dia dekatkan matanya ke aku, “aku pernah hidup macam bayang-bayang aku sendiri.”

Aku abaikan dia dengan meraikan pemandangan luar kelas yang cukup nyaman. Ada sesuatu yang buatkan ianya dingin dan berangin walaupun tingkap kami disuruh untuk terus bertutup pada waktu begini. Mungkin ufuk di hujung sana yang terlalu ketara luas dengan beberapa susuk gunung yang kabur melitupi segalanya – percaya dengan ada dunia berbeza namun beraturan selari sebalik sana.

Semesta lain yang selari?

“Wei kau dengar tak?”

“Apanya?”

Dia berdehem dua kali. Matanya yang tadi dekat semakin didekatkan lagi. Mereka yang lain mula berikan pandangan euw-geli kepada kami.

Aku laras kembali jarak antara kami; berundur beberapa sentimeter.

“Aku pernah jadi bayang-bayang aku sendiri.”

“Okay kau pernah hidup dalam gelap tanpa ada sebarang cahaya yang melimpah untuk belai keinginan kau yang kadang-kadang tak masuk akal, maksud aku, bukan ke tu normal? Aku pun kadang-kadang diabaikan orang lain juga.”

“Aku tak cakap dengan metafora. Ni betul. Literalnya aku jadi bayang-bayang aku sendiri.”

Aku kelip berkali sebelum senyum lebar. Tak pasti reaksi yang patut aku berikan selain dari gelak kuat, yang mana, aku rasa ianya agak kejam dan aku tak mahu mereka semua fikir kami sedang bergurau manja persis kekasih.

“Kau buat muka tu lagi,” dia undur dan bersandar pantas kembali ke kerusi, “aku cakap serius ni.”

“Serius eh? Okay, kalau kau jadi bayang-bayang, siapa jadi badan kau?”

“Tak ada sesiapa.”

“See details macam ni yang kau kena ambil berat bro. Lain kali kalau kau nak buat cerita ke apa, jangan terlepas pandang benda lain. Bayang-bayang akan wujud bila cahaya kena objek. Kalau kau takde badan—”

“Aku tahu.” dia sengetkan mulut menentang, “masalahnya memang tak ada sesiapa jadi badan aku. Tau-tau je aku tengah melekap kat lantai, dinding, tiang – katalah apa permukaan sekalipun. Aku cuba pandang sumber cahaya, kot-kot dapat tahu dari mana bayang aku ni wujud tapi tak ada apa; kosong.”

Aku diamkan diri dan tutup mata sebentar. Dalam masa yang sama, aku cuba susun kembali memori dan bernafas mengikut rima dari lagu-lagu yang aku hafal. Salah satu artikel yang aku pernah baca katakan bahawa cara terbaik untuk tahu kita masih dalam realiti adalah dengan pastikan aturan masa dan konsep kiraan kita (berkait dengan logik) bergerak dalam selari dan tanpa sebarang rasa janggal. Imej-imej silam akan pastikan kita terikat pada paksi yang nyata – hubungan sentimental kita dengan perkara peribadi akan berikan kita kuasa mengawal diri sendiri. Kita akan tahu secara automatik.

“Wei?”

Ianya nyata. Aku masih dapat rasakan bahawa ini semua cerita tipu dan dia di depan aku ini cuba cari pasal dengan minda waras aku.

“Kau tak pernah jadi bayang-bayang. Ni semua mimpi kau je kan?”

“Tak. Kalau mimpi, aku takkan ambil pot nak bagitahu kau.”

Entah kenapa, aku rasa ianya tak akan ada hujung melainkan aku terus melayan fantasinya ini. Sebagai rakan yang sentiasa pertahankan konsep persahabatan dan punya empati yang tinggi pada idea Bro Codes, ianya menyakitkan untuk aku terus berpaling dan cari orang lain untuk berbual sementara dia terus memandang benci dalam keadaan terpinga.

Kesimpulannya, aku mengalah.

“Okay cuba ceritakan dari awal macam mana kau jadi bayang-bayang kau sendiri.”

“Hujung minggu lepas kat rumah. Waktu tu aku baru bangkit dari tidur petang. Dalam keadaan mamai, aku pun turun tangga dan pergi ke ruang tamu. Aku buka HBO kat tivi. Aku harapkan ada romcom, saja nak biarkan kepala mamai aku layan benda relaks, tapi benda jadi lagi best bila tengah tayang True Detective. Episod empat pulak tu.”

“Simpan kisah kau layan True Detective tu dalam novel. Aku nak cerita pendek macam mana kau jadi bayang-bayang tu.”

“Oh,” dia buat muncung pantas, “lepas habis tu aku tutup tivi. Parents aku tengah keluar. Maybe diorang pergi Giant beli barang bawak adik aku sekali. So aku pun cadang nak keluar jejalan kat luar rumah, pergi taman kat seberang blok semi-d sana. Bila aku keluar je sekali mata aku macam jatuh ke tanah, pandangan aku berubah ke posisi mata semut. Waktu tu aku pandang sekeliling, aku tengah melekap atas permukaan hitam.”

Aku angkat tangan kanan dan tongkatkan dagu aku sambil pandang ke luar tingkap sekali lagi. Persis Holmes, aku cuba merungkai kisahnya, yang mana, aku rasakan ia tak akan beri klu atas keputusan menyunting tadi. Tanpa perinci, aku biarkan kepala aku untuk berenang dalam kolam jawapan rawak dan cuba menangkap salah satu yang aku rasa paling masuk akal.

“Mungkin masa kau keluar mamai tu kau tertidur balik. So kau mimpi.”

Berakhir dengan tak ada satu pun yang masuk akal untuk diteroka sekarang.

“Kan aku dah bagitahu perkara tu bukan mimpi. Aku sendiri rasa semuanya, real.”

“Well kau tak boleh kata benda tu real sebabkan kau rasa. Rasa ni selalunya wujud atas percaya. Bila kau yakin sesuatu, otak kau automatik tampal idea benda tersebut nyata dan jadikan logik dan perspektif kau ikut dengan apa yang kau nak. Lagipun, cara kau cerita berdasarkan sudut pandang pertama buatkan semua jadi menipu. Kalau betul mata kau jatuh ke tanah, ia jatuh ke bahagian bayang-bayang yang mana? Mata kau tadi jadi leper macam bayang-bayang tu jugak ke? Kalau leper, dah tentu kau nampak semuanya flat, tak boleh nak pusing pandangan 360 darjah.”

“Haih, part mata jatuh ke tanah tu metafora je. Maksud aku, pandangan aku bergerak dari atas ke bawah. Macam tergelincir bagai.”

“So, tak ada sebab lain melainkan mimpi.” Aku angkat kening gaya bernas, “dah boleh kita lupakan cerita kau ni?”

Dia angguk sebelum alihkan padangan ke tepi dengan riak murung. Dalam waktu serentak, cikgu Hafizah masuk dengan jeritan ramah dramatik hey memurid semua! dan tangan yang berhayun tinggi memegang pembaris panjang. Ketua kelas memanggil semua berdiri dan ucapkan selamat pagi cikgu dengan tona yang hambar – ironi pagi yang tipikal.

Sesi pembelajaran bermula seperti biasa. Cikgu mula menulis beberapa soalan dari kelas semalam dan ianya sesi kami menyerahkan diri apabila dipanggil kelak untuk menjawab setiap satu soalan tersebut di depan. Ada sesetengah kami yang mula merungut perlahan dan ada yang bersemangat menantikan pembentangan jawapan tersebut seperti seorang ahli akademik yang bakal berkongsi formula genius barunya bagi menentang persamaan relativiti e=mc² Einstein.

“Wah nampaknya semua macam lesu.” Cikgu letakkan kapur, “semua berdiri dulu kita buat senaman pagi.”

Rungutan semakin jelas terpancar pada setiap ahli kelas ini termasuk aku. Senaman paginya selalu melibatkan…

“Okay saya pasang lagu ni kat phone dan kamu semua buat chicken dance tau.”

Tidak!!! aku meraung dalam hati dengan muka yang kelat. Barangkali ianya bukan aku seorang apabila rata-rata mereka semua turut kakukan diri dengan muka kelat yang sama.

“Eh kejap,” cikgu pandang ke belakang aku, “mana Karem?”

Aku menurut toleh ke belakang. Susuknya hilang dari kerusi dengan tinggalan bekas pensel, buku tulis dan begnya yang tergantung rapi pada badan kerusi. Sesuatu yang aku rasakan tak sedap tetapi macam biasa, ada rasional sebalik kejadian silap matanya ini.

“Dia pergi tandas kot cikgu. Tak tahan sangat kot sampai ikut pintu belakang.”

Itu yang terbaik aku boleh simpulkan.

“Okay.”

Cikgu mulakan lagu chicken dance tersebut dan mula mengira petunjuk pada waktu bila kami patut mulakan senaman pagi yang sihat ini.

“One, two, three, four!”

Maka setiap dari kami pun mula berjoget ayam di dalam kelas. Kebanyakannya berlagak seperti terlupa langkah dan selain dari itu lakukan dengan penuh malas. Ini sebuah penyeksaan psikologi dari seorang yang diamanahkan untuk mendidik, Karem pernah beritahu aku.

Aku menoleh sedikit ke belakang. Masih menanti Karem untuk kembali ke kelas. Sama ada dia tahu chicken dance ini akan berlaku atau betul-betul sedang selesaikan urusannya di tandas – dia tak patut terkecuali dari ini.

Pandangan aku terhenti pada satu kejadian yang demi tuhan, mengerikan. Ianya benar; bayang-bayang dengan saiz badan Karem, terpancar dari tempat duduk Karem, sedang rancak dengan gerakan chicken dancenya juga. Selain dari kepunyaan Karem, aku tak rasakan bayang-bayang tersebut datang dari objek di belakang sebesar Karem, yang mana, bergerak sama menari dengan kami.

Aku hanya telan air liur dan tutup mata. Dalam masa yang sama, aku cuba susun kembali memori dan bernafas mengikut rima dari lagu chicken dance tersebut.