Awak oh awak

Hey mata awak berair? Awak sedang menangis ke? Tak? Awak tahu, dalam ramai yang saya tanya, mereka akan mengaku dengan cepat. Tetapi awak tak. Saya tahu awak sedang menangis. Masih taknak mengaku? Okay, pertamanya bukan mata awak je berair tetapi pipi awak turut basah, keduanya bantal awak ada kesan titisan air mata dan kali ini saya cukup pasti, saya tahu bagaimana bentuk air mata yang jatuh ke fabrik. Atau awak lebih senang kalau saya mengaku bahawa saya seorang psikik? Kalau begitu, saya tak kisah. Macam mana pun penerimaan awak tentang tanggapannya, saya masih percaya awak sedang menangis.

Tetapi kenapa awak menangis pada lewat malam begini? Maksud saya, awak bukan berada kat jalanan untuk diancam awam kat luar sana, awak bukan berada dalam panggung wayang untuk tersangkut dalam fiksyen sedih, atau telinga awak bukan raikan bunyi-bunyi syahdu dan mellow dari radio. Kejap, saya tahu kenapa. Minda awak sedang menarik rasa awak dalam-dalam kan? Tentang bagaimana kalau dan persoalan lain yang buatkan awak rindu dengan semalam, atau meneka macam mana masa depan akan jemput awak.

Betulkan tanggapan saya? Apabila awak angguk begitu, mata air awak semakin jelas berderai.

Okay.

Jangan risau dengan masa depan, mereka kelihatan macam raksasa besar dengan gigi tajam tetapi hakikatnya mereka itu suatu mitos. Raksasa sebegitu hanya wujud apabila awak terima dengannya, apabila awak percaya dengannya. Bukannya saya ingin suruh awak abaikan mereka dan raikan semasa dengan gemilang – saya masih inginkan awak bersedia menemui raksasa tersebut tetapi bukan dengan perasaan risau. Kenapa? Sebab perasaan risau ini lebih kepada menjatuhkan. Cuba beritahu saya, jujur, selama awak risau ada tak awak rancang sesuatu demi bertemu raksasa tersebut? Tak kan? Saya tahu sebab ramai yang lalui perasaan macam awak ini – awak tak keseorangan. Ramai yang tenggelam dalam risau dan tak timbul kembali selepasnya.

Ya? Bagaimana dengan perasaan rindukan silam? Nampaknya awak mula terima dengan kehadiran saya di sini kan? Eh tak, saya tak sinis atau cuba untuk bermain dengan awak, saya cukup hargai dengan kepercayaan yang awak berikan. Maafkan saya kalau awak tersinggung.

Hm rindukan silam. Ini saya tak boleh nak nyatakan ia sebuah mitos atau apa, sebab awak sudah laluinya dan rasa yang tertinggal dari kejadian tersebut terlalu real, terlalu nyata. Bagaimana kalau saya nyatakan perasaan silam tersebut wujud dari dimensi yang berbeza? Saya bukan peminat sci-fi tetapi saya masih kagum dengan idea-idea dari geng string theorist. Ada satu dimensi – sama ada ke lima, atau enam, - yang kita mampu loncat dari satu garis hidup kita ke garis hidup yang lain. Seperti tali panjang yang jika dilihat dari dekat, ia terbina dari pintalan tali yang banyak. Kiranya kita bukan tercipta seorang, kita sebenarnya ramai. Awak pernah tonton Oblivion? Alah, yang Tom Cruise berlakon tu. Saya kira macam tu, cuma semesta antara awak dan awak yang lagi satu sangat jauh. Kiranya perasaan rindu silam awak tu sebenarnya agak palsu—

Apa dia? Ia tak masuk akal? Erm, saya tahu. Maafkan saya sebab cari alasan untuk awak teruskan hidup dengan mengabaikan perasaan rindu silam tersebut. Saya faham bagaimana jiwa kita memberontak apabila hilang benda bernilai dari semalam. Kejap, mata awak seolah nyatakan yang saya menipu. Saya tak tipu, sumpah! Saya sendiri ada penyesalan lama yang tak pernah selesai; sama ada saya patut lakukan atau abaikan, patut tegur seseorang atau tak, patut letakkan kepercayaan pada orang lain atau tak – semua itu masih lagi berputar merewang dalam kepala saya sampai sekarang.

Jadi bagaimana nak elakkan rasa sakit tentang silam tersebut? Kenapa awak senyap? Eh mata awak mula berair balik, maaf.

Hmm, kejap saya ada idea.

Saya rasa kita dua kena kurungkan perasaan ini dalam buku nota. saya percaya apabila tangan kita bergerak menulis dengan akal kita fokus menekap prasaan semalam dalam halamannya, mata kita terlupa untuk menangis.

Awak setuju?