Dia kata aku perlu cari sesuatu yang menarik untuk dipersembahkan kepada rakan-rakan kelas yang lain. Ini cara terbaik untuk kau kagumkan mereka semua, matanya bersinar menyapu dedebu tak-ambil-port aku.
Semuanya salah aku. Siapa sangka, pengakuan dan kisah-kisah sedih aku diangkat olehnya sebagai masalah dunia dan dia sebagai protagonis dalam novel adiwira perlu selamatkan aku dari bencana akan datang. Aku beritahu sebab aku terlepas nak beritahu, aku cakap dalam hati, macam bunyi-bunyi nada dering telefon bimbit yang berkumandang di dalam panggung wayang atau mesyuarat penting.
Jadi dia teruskan agendanya tanpa perasan dengan klu-klu menjauhkan diri dari aku. Dia berikan mesej kata semangat waktu sarapan, ucapkan ayat-ayat positif ketika berbual, panjangkan surat dengan ucapan selamat ketika sedang kuliah. Aku tenggelam dalam kebaikan orang lain – melainkan semua orang akan seronok dengannya, tetapi bukan aku. Aku lebih suka diabaikan dan mendapat kayu sama panjang ketika memilih.
“Kenapa kau buat semua ni?” kata aku sambil membaca di sebelah.
“Hey kau tengah membaca,” dia pandang ke aku dengan riak ramah, “aku akan balas bila kau dah habis baca, taknak ganggu kau.”
Aku mengeluh dalam-dalam dan tutup buku. Ia gagal. Sebenarnya itu salah satu cara sekiranya aku ingin berbual mengenai topik yang serius tanpa dilihat sedang ambil serius. Tuhan saja tahu bagaimana aku tak ingin dia ambil serius dengan aku; rimas ya-rabbi, RIMAS.
Tetapi aku tak boleh beritahunya. Dia merupakan salah seorang rakan yang aku ada di fakulti, yang mana, ada motor sendiri.
Jadi aku anggap ini sebuah pengorbanan abadi antara aku dengannya. Aku cuba terima dia seadanya dan aku terima motornya seadanya. Siapa saja boleh tahan dengan makanan di kafe kolej/kampus yang masak mengikut template asalkan-nampak-macam-makanan dan harganya yang meletakkannya searas kafe-kafe hipster di luar sana. Mungkin sesetengah pelajar boleh terima bersyukur makan di kafe tersebut tetapi bagi aku ianya tak berbaloi.
Motornya adalah penyelamat bagi aku meraikan makanan yang masih ikut templat tersebut tetapi dengan harga yang berpatutan.
“Oh pasal soalan kau tadi,” dia pegang bahu aku, “apa yang kenapanya?”
Tengkuk aku menggigil. Aku angkat dua-dua tangan, berpura mengeliat.
“Kenapa kau kena ambil kisah tentang aku?”
“Sebab kita dua kan kawan… Ada alasan yang lebih baik dari tu ke?
Okay macam ni, kalau kau kawan aku maka kau kena tahu tentang sempadan maya yang terbina atas dasar kepercayaan yang kukuh berdasarkan konsep ini: ada benda kawan A tak ingin kawan B masuk campur, misalannya, apabila memilih tandas – macam mana A dan B sukakan tandas hujung yang ada pembukaan udara di atas (lebih senang untuk hilangkan bau rokok dan kurangkan peratusan kantoi dalam 30%) ia tak bermakna mereka akan masuk ke tandas tersebut pada hari yang sama, waktu yang sama.
Itu apa yang aku cakap lepas itu, paling kurang.
“Jadi apa kena mengena tandas dan kenapa aku ambil kisah kat kau?”
Aku mengeluh dengan jelingan dramatik, “haih kau ni.”
“Kejap jangan bagitahu dulu. Biar aku fikir.” Dia betulkan punggungnya dan bersandar cermat pada bangku, “kira tandas tadi masalah kau tapi kau tak kasi kawan masuk tandas tu kan?”
“Boleh lah, macam tu jugaklah.”
“Well tapi merujuk kepada akhir konsep tandas tadi, hujungnya kau kata ‘bukan pada waktu yang sama,’ ye tak?”
Aku telan air liur apabila memikirkan contoh tadi agak cetek.
“So sebab aku tengok kau tak masuk tandas tu lah sebab aku masuk!”
“Siapa kata aku tak ada dalam tandas tu?”
“Sebab pintunya tak rapat. Lepastu bila aku intai bawah tak ada kaki menapak.”
“Tandas tu jenis cangkung. Aku kat atas mangkuk tu. Memanglah kau tak nampak.”
“Tak, tak. Aku dah panggil berkali-kali dah tapi kau tak jawab.”
“Sebab aku tengah layan—“
Dia gelak. Aku alih pandang ke sisi menentang. Entah kenapa, aku masih rasa perbualan tandas tu lucu tetapi dalam masa yang sama tertekan dengan betapa cluelessnya dia.
“Jujur,” aku mengalah, “aku tak nak kau sibuk dengan hidup aku. Dan jujur, aku masih nak guna motor kau bebila.”
Dia diam. Aku pantas buka buku membelek halaman rawak dan gerakkan mata menurut teks seperti membaca. Dia kena fikir yang aku tak serius walhal aku sedang serius.
“So ni pasal tandas tu? Okay.”
“Okay jangan sibuk dengan hidup aku atau okay aku masih boleh guna motor kau?”
Dia berdiri sambil lap pipi yang berair. Beberapa titis jatuh perlahan seperti tayangan imej bingkai demi bingkai yang titisannya beralih menurut arah angin, “okay.”
Pengakuan aku berkahir di situ dan esoknya aku sedar yang bukan saja aku tak lagi wujud dalam hidupnya malah tak wujud di mata rakan kelas yang lain. Dan apabila kau tak wujud, permohonan penggunaan motor tak akan sah kerana data kau tak ada dalam sistem – aku raikan waktu makan dengan roti dan snek dari minimart kolej, serta ya, jelingan sinisnya dari jauh.