Rumah Lama

Sebab ianya sedikit aneh kalau anda tanya saya.

Anda kenal dengan seseorang yang penting, seseorang yang berbaloi untuk ditekap ke buku peribadi my-biggest-events dan entah bagaimana, anda terus tahu yang dia perlukan kediaman tetap pada diri anda. Jadi anda bawa semua draf dan peralatan untuk pergi ke ruang hati dan pacakkan cerucuk asas pada tapak yang tertentu; hey, anda ingin bina sebuah rumah yang khas demi dia di sana! Anda ambil masa berkenalan demi dapatkan idea untuk reka rumah tadi; keluar makan dengannya, pergi ke panggung wayang dan biarkan dia yang buat keputusan untuk memilih filem, pergi ke tempatnya dengan alasan sekadar ingin katakan hai sambil mata anda cukup teliti di atas meja dan lacinya untuk tahu apakah buku kegemaran yang dia sering baca sebelum tidur; dia klien automatik anda tanpa syarat atau kontrak. Dan rumah itu kemudian siap dan anda berikannya kunci untuk masuk. Masa berlalu sebelum dia sedar ruang hati tadi terlalu sunyi; dia perlukan awam lain untuk hilangkan rasa bosannya. Anda cuba pertahankan segalanya sambil katakan rumah itu tadi hanya untuk dia dan ianya benar – waktu dia sudah pergi beberapa tahun selepas, walaupun anda ingin buang segala perhiasan dan perabot dalam rumah tersebut, anda masih tak mampu lakukannya; rumah itu hanya untuk dia dan kunci pintunya hanya ada pada dia yang sudah berbatu jauh meninggalkan anda.

Kenapa? Maksud anda, kalau kita yang reka rumah tadi sudah tentu kita ada kuasa untuk buat apa-apa pada rumah tersebut bukan?

Entah, sebab ianya sedikit aneh kalau saya tanya diri saya sekalipun.