Kalau kita adalah warna, maka apakah warna kita?
Saya tetiba teringat dengan baris dari satu anime. Ianya babak di pertengahan episod, yang mana protagonis diberikan tugas untuk menjemput seorang gadis dari stesen keretapi. Waktu dia sampai di sana, dia terlihat gadis itu (merujuk gambar yang dia bawa bersama) sedang duduk di bawah pokok menanti dengan mata yang memandang jauh ke depan. Dia seolah figura hidup yang terbiar dari kesibukan awam di sana, dalam masa yang sama cukup bersinar dari rupanya yang bingung dan tak ada perasaan.
Si protagonis, Sorata berdiri di depan gadis tersebut; terpaku janggal. Lalu gadis tersebut, Shiina memandangnya dan bertanya, ‘awak nak jadi warna apa?' sebelum Sorata dengan teragak menjawab, ‘saya tak tahu dengan masa depan, tapi mungkin waktu sekarang saya nak jadi warna opal.’ Sorata kembali bertanya kepada Shiina dengan soalan yang sama. Balas Shiina sama teragak namun lebih pantas menjawab, ‘putih,’ sebelum Sorata membalas ramah, ‘sama macam nama awak,’ yang mana ia merujuk kepada nama pertama Shiina iaitu Mashiro (Shiro bermaksud putih dalam bahasa Jepun).
Tak tahu kenapa saya menulis ini semua kerana babak anime tersebut datang secara laju – imej, warna, bunyi, pergerakan – dalam kepala. Ia hanya pengenalan karakter dan dialog itu mungkin terlalu cetek untuk digali.
Atau mungkin waktu awal pagi ini akal menyuruh saya untuk memikirkan warna saya sendiri.