Saya sering tersengih ketika kawan-kawan saya persoalkan tentang gaya hidup saya yang memilih untuk bersendiri, awak tahu, seperti waktu pagi saya keluar dari bilik ke dapur untuk bancuh kopi hitam dan hidangkan diri saya dengan dua keping roti sebelum kembali semula ke dalam bilik untuk tempoh satu hari penuh. Rutin saya bosan tetapi ianya masuk akal bagi jenis yang sederhana seperti saya – akan duduk di atas tilam sambil bersandar di dinding dan lihat susuk tubuh saya pada cermin almari sederhana besar di sisi katil. Waktu tersebut saya akan bayangkan bagaimana rupa saya pada 10 tahun akan datang, atau, bagaimana ingatan saya tentang diri saya waktu 10 tahun sebelum. Jika mereka bertanya kenapa, saya hanya akan katakan bahawa saya manusia yang pilih untuk tak hidup pada waktu semasa.
Mereka gelak. Mereka sentiasa gelak.
Jadi saya bertanya pada mereka bagaimana gaya hidup yang paling betul untuk saya ikut? Mereka berikan terlalu banyak contoh (berdasarkan dari hidup mereka; berlagak barangkali) yang akhirnya saya dapat simpulkan kesemuanya berdasarkan tunjang proaktif dan terbuka.
Itu masalah mereka. Mereka fikir semuanya adalah jenis terbuka.
Saya bukannya seorang yang antisosial. Saya tak menentang dengan awam atau apa. Saya hanya seorang yang tertutup dan mampu rasa seronok pada sunyi. Saya raikan kewujudan saya tanpa merujuk apa-apa objek atau benda di sekitar – saya jenis yang mampu menilai rasional dan emosi diri sendiri, yang mampu hiburkan diri sendiri. Jika mereka inginkan saya untuk menegur orang asing, saya boleh lakukannya dengan pantas tanpa was-was. Ada sekali saya disuruh untuk katakan hi, i think you're ugly pada gadis rawak di kaunter beli belah (soal permainan truth or dare) dan gadis tersebut hanya membalas dengan muka terpinga (atau bingung yang sedih?) selepas saya sebutkannya suara mendatar dan riak muka lurus.
Jadi saya ambil masa untuk mendengar dan perhatikan mereka. Apakah saya terlalu asing dengan awam? Saya berjasad manusia dan berjiwa makhluk asing?
Mungkin kerana saya rasa untuk bersosial cukup letih, dan keduanya, leceh. Saya terpaksa menjangka reaksi spontan mereka dan membalas dengan aras yang selamat. Itu sesuatu yang menggunakan tenaga, awak tahu? Itu belum lagi jika diletakkan sekali jangkaan awam tentang diri saya. Ia sebuah penjara halimunan yang menekan. Saya mampu jadi indenial (seperti sekarang apabila bersama kawan saya) dan berlagak jahil demi meraikan interaksi mereka dan bangga pada satu dunia tentang bagaimana meriahnya hidup saya, bagaimana popularnya saya, tetapi barangkali saya akan mati keletihan pada waktu tersebut.
Esok mereka akan tanya lagi kenapa. Ya saya tahu, mereka cukup jelek bukan?
Jadi selepas ini saya akan nyatakan pada mereka: Ianya kerana pada waktu jam yang lewat (waktu mereka semua tidur kerana keletihan dengan hidup terbuka mereka yang meriah) tersebut jika saya buka tingkap, saya mampu dengar bunyi tapak kaki angin yang akan panggil matahari, dan pokok di bawah bayang-bayang bersiul nyaman, dan serangga menyapa setiap dari mereka dengan bahasa yang saya faham, dan langit berdansa kelam-kabut tetapi seronok, dan raksasa itu datang sambil bawa kisah-kisah yang baru.
Ya, ianya sebab raksasa itu yang jadikan hidup bersendiri cukup seronok hehe.