Saudade

Duduk di kerusi menghadap meja dan khusyuk memerah jus-jus kreatif. Dia gaul emosi dengan harapan untuk ditekap ke kertas.

Dia letak pen ke bawah. Bawah sebawah lantai. Dia kata dia akan siapkan puisi itu bila hubungan dia dan Nana benar-benar hilang. Kali ini semangatnya lebih dari biasa tetapi hati dia berbisik perlahan, bunyian pop catchy yang sinis, bahawa dia ingin pen tersebut hilang tanpa sedar – seperti ketika dia bangkit lewat untuk pergi kerja dan ambil tuala dari penyangkut, berlari ke tandas dan tersepak pen tadi ke bawah katil. Atau seperti rakan serumahnya masuk bilik dan pinjam pen tersebut sebelum lupa untuk pulangkan kembali. Atau seperti serangga liar datang dan ratah pen itu hingga lesap. Salah satu – hati dia lebih tahu dari itu.

Dia buka kembali surat Nana yang terakhir. Tulisan Nana cantik walaupun kelihatan kasar bermula dengan perkataan pendek: Maaf. Dia tahu Nana letakkan sepenuh hatinya ketika tulis ia. Dia senyum tanda terima kasih, membalas keikhlasan Nana. Matanya laju menurut teks. Dia baca tetapi tak baca. Akalnya bingung. Ada rasa janggal pada udara di sekelilingnya. Itu imaginasi liar, dia pasti. Dia terus senyum.

Dia kata dia akan siapkan puisi itu bila semuanya dengan pasti, benar-benar, tanpa ragu, tamat.