Sambil merokok, aku pandang tepat ke padang tempat sepupu kecil bermain mercun, Pak Teh berpaling, toleh ke aku dan kata, “rindu zaman korang ke?”
Korang.
Beberapa waktu sebelum, aku cuba untuk kenang kembali raya ini seperti hari-hari sebelum. Ianya sebuah temasya yang girang dengan warna beredar sekeliling, minggu demi minggu – raya sebulan seperti ianya bakal tamat dalam satu malam. Persahabatan antara aku dan sepupu sungguh akrab dan nyaman. Kami tak pernah terlupa untuk mengenal diri kami masing-masing dari hari ke hari, untuk ketawa bersama meraikan luka ketika terjatuh dari meneroka bukit dan semak belakang kampung, untuk bersedih kerana maghrib merupakan batas pertemuan kami dengan segala kemungkinan yang terdapat di luar sana – seperti kami akan bertemu makhluk pelik dalam siri pokemon yang kami tonton pada hujung minggu.
Kini, raya kami bermaksud mengekor ibu dan ayah ke rumah saudara sambil jamah makanan yang terhidang, main telefon dan bawa diri.
Adakah kami terlalu sibuk untuk terus meraikan ikatan semalam? Adakah haluan masing-masing terlalu menyimpang jauh hinggakan tak ada sebuah titik pertemuan langsung? Ketika aku sedang duduk di ruang tamu rumah nenek, A dan B (sepupu lebih tua 2 tahun) menyapa aku dengan pandangan ke lantai dan jabat tangan yang segera dan pantas sebelum berpaling dan terus duduk di sudut sana. Aku senyum untuk merayakan kehadiran silam, kau tahu, seperti cuba untuk menjemput rasa semalam ketika kami kecil dan demi tuhan, aku tak mampu rasa apa-apa – afterall, I don’t give a fuck about them.
Jadi masyarakat yang lebih lama makan garam menyalahkan kami yang hidup secara individualistik dan terlalu pentingkan diri sendiri. Mereka bilang kami ini generasi yang gagal dan tak reti dalam hidup beruntung. Ada antara mereka yang lebih ke arah konteks masa, meletakkan teknologi sebagai punca budak-budak zaman sekarang selalu mengabaikan ikatan kekeluargaan. Bagi aku, kami tersangkut dalam suatu masalah yang kami sendiri tak faham.
“Mereka kata kami penyebab ribut pada langit awam.” Aku terlepas cakap ke arah Pak Teh sebelum dia pandang ke aku dengan muka pelik.
Aku diam dan pandang ke arah langit. Tak apa, paling kurang aku masih ingat nama mereka dan kenal mereka waris kepada siapa.