Saya takut, cemas, waktu saya mula sedar yang ianya sedang berlaku; aku dan dia – kami sedang dalam hubungan yang berteraskan kasih. Maksud saya, kalian mesti tahu tentang rasa yang datang apabila kita mula sedar yang kita terikat dengan sesuatu ikatan yang lutsinar, sesuatu yang halimunan dan bergerak seperti udara – terlalu rawak untuk kita duga di mana tempatnya yang sebenar.
Dua tahun dulu, saya tak rasa begini.
Ianya sesuatu yang saya rasa terlalu pantas dan dalam detik masa antara saat yang bergerak, ia seolah tak cukup ruang untuk melakukan apa-apa. Dalam kepala saya hanya ada satu adegan yang berulang setiap masa: saya sedang berdiri di padang luas berbumbung awan gelap yang berat sebelum titisan air hujan mula jatuh satu persatu. Saya kemudian ditugaskan oleh satu dewa untuk kutip setiap titis hujan (sebelum ianya sampai ke darat) dan letakkan di dalam bekas yang saya bawa di dalam beg galas belakang. Selepas selesai kumpul semua titis tadi, saya perlu lepaskannya ke dalam sungai dan beri ucapan selamat tinggal, hati-hati ya! – semuanya tak masuk akal!
Jadi sekarang ini, saya cuba untuk duduk dalam tenang dan abaikan setiap benda yang datang secara rawak untuk mengganggu. Dia dan saya, ianya mengarut. Lagipun suatu hari nanti apabila dia tahu semesta saya penuh dengan tak sempurna, dia bakal berlari dengan memegang tangan orang lain, bersiul girang tanpa langsung teragak untuk berhenti dan menoleh ke arah saya di belakang.
Saya perlu pegang kepada kata ayah: kalau nampak petunjuk yang ia bakal runtuh, lari dan jangan pandang belakang.
Tetapi bagaimana saya nak tahu ianya satu petunjuk atau tak?
Kerana perasaan ini terlalu gembira apabila kami berjumpa dan berjalan di taman. Senyumannya terlalu sempurna hinggakan sekeliling saya jadi kabur dan tangannya lembut untuk beritahu yang dia akan sentiasa berada di sisi saya walau apa pun terjadi. Ada satu teras graviti di dalam jasadnya yang terus menarik saya secara fizikal atau mental. Adakah ini perasaannya apabila bercinta?
Cinta? Tak. Aku tak boleh lakukannya.
Ya tuhan, selamatkan aku dari perasaan jahat ini. Semua cinta adalah berteraskan nafsu dan ia kerja syaitan. Cinta itu gula-gula kapas berantai yang diberikan oleh syaitan.
Selamatkanlah aku.