Dia berdoa untuk tuhan gelapkan dunianya, cukup angkuh, dengan pakaian compang-camping dan bahasa yang ganjil beriring suara yang tak berbunyi. Aku tahu dia berada pada aras mana hidupnya; terlalu muda untuk mengagak ribut dan terlalu tua untuk meraih ombak penerokaan. Di dalam hatinya ada satu cahaya yang tinggal dan itu telah dia gunakan demi permintaan bodoh terakhirnya. Adakah ia bakal menebus segala dosa silam dan keji lampau?
Aku tak pasti. Satu yang ketara, dia sebenarnya sudah penat.
Apabila aku dekatkan diri kepadanya, tangan aku menghala ramah untuk membantu. Ego aku tak mampu kekal dalam keputusan terbaiknya, tanpa diduga menurut simpati yang tinggal pada diri untuk selamatkannya. Dia hanya senyum dengan simbol sinis sebalik, celaka, kalau kau tanya aku – ini bukan masa untuk berlagak.
Aku terus paksa menarik. Lengan bajunya mula koyak. Anehnya pergelutan berlaku bukan pada laku dirinya, ia lebih kepada persekitaran. Langit mula bertukar warna kelam dengan pejuangnya si angin yang datang bersiap pedang. Tangan aku kebas dalam pertahankan keputusan. Ini balasan tuhan pada mereka yang memilih untuk hidup tanpa cahaya, aku berteriak kuat, ini balasan untuk kau yang sudah tak mahu melihat harapan.
Dia tenang dengan mata yang lemah, memandang sambil berkata,
Sayang, waktu telah memakan aku dengan perlahan dan ia berlaku secara senyap di dalam. Satu persatu sel-sel aku mula reput, peparu aku mula runtuh dan bertembung dengan organ yang lain, jiwa aku mula menolak kuat untuk keluar dari penjara jasad ini, dan sekali lagi kau beritahu aku ini adalah balasan tuhan terhadap aku? Kalau ia benar, maka kewujudan aku sendiri adalah kesilapan terbesar tuhan.
Lengan bajunya terkoyak penuh dan dia jatuh ke dalam hitam likat lohong tersebut.
Kau ada waktu terakhir dan kau gunakannya untuk menyalahkan tuhan. Semoga belas kasihan masih lagi berada di pihak kau.