Suatu hari nanti apabila aku telah pergi dan hanya ada jiwa tanpa jasad yang merewang liar untuk datang ke kediaman kau dan dia, aku bakal duduk di sisi katil dan bisikkan ke telinga kau segala rasa rahsia dan impian agung tak kesampaian dulu. Tetapi aku tertanya adakah segala perkataan tersebut akan mengalir keluar dari mulut dengan lancar dan mudah walaupun aku tahu kau tak akan dengar – kau tak pernah nak dengar. Dan waktu itu kau dekatkan diri padanya, angkat tangannya dan letak di keliling kau sebelum rapatkan muka kau ke badannya. Tangisan kau bawa erti masalah dan dia berbisik it’s okay secara perlahan, malas. Aku tak rasa dia jujur dalam katakannya tetapi kau dalam pengaruhnya, lelaki hidup dan mati kau mungkin. Mengudur beberapa langkah dan lihat kau dilindungi kasihnya. Ini semua tak betul, aku meracau sepi, cuba hentikannya namun ia tak akan berhasil. Filem hantu yang ada kuasa untuk gerakkan objek dan ganggu manusia itu semua sekadar fiksyen. Aku tenggelam dalam bahagia kau. Segalanya yang aku ingin bisikkan tadi kembali masuk ke kerongkong dan melekap ke dada; pedih. Ianya tak adil, kau tahu, rasa semalam masih segar menayangkan imej kita berdua. Dan waktu itu aku mula lihat bahawa ia tak pernah ada kita dua. Kelihatan aku mengejar kau yang sedang terbang riang di depan. Dan masanya telah tiba untuk aku minta tuhan bunuh aku kali kedua kerana ini semua balasan dosa silam aku; untuk lihat kau dan dia adalah neraka.
— Olaj Esf