Sebagai bidadari yang menjaga mimpi, saya sering merewang ke angkasa luar dari dimensi kalian dan dalam masa yang sama sering mengekori kalian ke mana saja. Itulah saya, Bornes: penjaga mimpi. Saya ditugaskan untuk meneliti setiap mimpi kalian sama ada ianya normal mahupun aneh. Kewujudan saya pernah dibicarakan oleh beberapa dari kalian yang pernah terlihat kelibat saya (barangkali saya terleka hingga tergelincir ke dimensi kalian) dan dalam sekelip mata, atas kuasa yang terhad, saya jadikan memori mereka rapuh dan lima saat kemudiannya saya tak lagi wujud dalam ingatan mereka.
Kali ini saya ingin bicara mengenai mimpi-mimpi manusia yang pelbagai. Ianya terlalu rawak. Bagaimana sebuah mimpi itu dibentuk? Sudah tentu dari keinginan manusia di luar sana. Kalian punya nafsu bukan? Dan dalam dimensi ini ianya berbentuk awan warna-warni yang berkepul sambil bergerak ke pelbagai arah. Mimpi kalian dibezakan melalui tinggi paras awan tersebut terbang. Ada yang rendah dan tinggi. Selalunya awan yang tinggi ini terlalu liar untuk dikawal. Pemantau saya berikan kebenaran untuk hembuskan ribut pada awan-awan tinggi ini supaya ianya berderai dan hilang.
Tetapi ianya bukan salah saya, demi Yang Esa, saya hanya lakukan apa yang terbaik.
Kerana awan yang terbang terlalu tinggi akan terus mencapai batas yang melampau. Ianya tak patut. Sedangkan sayap saya sendiri terbatas, apatah lagi awan-awan liar tersebut. Kalian perlu sedar bahawa kalian itu hanya manusia – bagaimana mimpi kalian tinggi sekali pun, anggota kalian terlalu lemah dan terbatas. Beban yang datang bukanlah suatu benda yang main-main. Jadi sekiranya kalian sakit atau murung kerana gagal, kalian patut berterima kasih kerana saya selamatkan kalian sebelum ianya jadi tak terkawal.
By the way, sama-sama hehe.
Ingat ini: seperti bait-bait dari Elena Tonra degan suara berangin lembutnya,
One day we'll reveal the truth
That one will die before he gets there.
Mudah bukan? Ianya mudah, pahit dan tajam. Well, ianya realiti kalian maka… biasalah.
Namun ada suatu hari ketika saya sedang sibuk perhatikan mimpi-mimpi ini, saya terlihat satu awan yang dalam keadaan pegun; langsung tak bergerak walau seinci dua. Jadi saya dekatkan diri saya ke awan tersebut. Ianya cukup mengejutkan kerana berbanding dengan awan yang berwarna-warni itu tadi, kali ini ia hanya sekepul awan hitam di atas lantai. Pada mulanya saya sangkakan ia hanya asap kosong yang selalunya terjadi apabila ada kelahiran baru di dunia kalian (yang bakal mengisi ia dengan mimpi) namun setelah saya tanya pada pemantau, dia hanya katakan ini adalah awan mimpi normal dan ia datang dari seorang remaja.
Remaja? Bukan ke remaja ini waktu kemuncak untuk bermimpi. Waktu paling gemilang dalam fasa kehidupan manusia untuk meneroka ceruk-ceruk luar?
Jadi saya ambil keputusan untuk tinggalkan nota kepadanya. Ya saya tahu, ianya dilarang. Tetapi saya terlalu ingin tahu dan lakukannya tanpa sedar dari pemantau.
Hai.
Apa yang kau nak jadi bila besar nanti?
Apa yang kau nak kejar?
Rumah besar, kereta mewah, duit berjuta-juta – apa dia?
— Rakan Prihatin.
Saya kembali ke dimensi saya semula.
Sambil saya mengawasi awan-awan yang lain, saya sentiasa memandang ke awan hitam tersebut. Kadangkala ketika waktu rehat, saya akan bentangkan tikar bersebelahan awan tersebut sambil cuba meniup perlahan untuk mengangkatnya – sia-sia, ia tetap kekal sebegitu.
Saya tunggu balasan suratnya hari demi hari, kalian tahu, waktu malam saya akan ke bilik tidurnya untuk lihat di atas meja tempat yang sama saya hantar nota sebelum. Kosong. Ianya sebulan kemudian saya kembali dan terjumpa buku nota peribadinya. Ia penuh dengan halaman yang berconteng rawak. Kebanyakannya kesan titik merah pekat yang besar – barangkali dia suka warna merah.
Saya membelek perlahan hinggalah saya ketemu nota lama yang diberi dulu. Ianya terselit di salah satu halaman. Saya pandang ke arahnya, rupa tidurnya tenang diatas tilam dengan mata yang tertutup sayu.
Kepada Rakan Prihatin,
Terlalu banyak yang aku inginkan.
Malam itu saya tahu apa masalah awan tersebut: warnanya terlalu banyak dan bertindih sesama sendiri hinggakan ia menjadi hitam, terlalu berat dengan jangkaan yang dahsyat dan paling sedih, terlalu bebas hinggakan ia tak mampu tahu arah ke mana untuk bergerak.