"Akal Robert terlalu kompleks menjadikan ianya mudah disimpul dengan satu perkataan; ganjil. Simen petak berwarna putih mula membentuk sebuah rumah, kedai, ofis, menara – dan setiap darinya berbeza sesama sendiri. Waktu ini kalian akan berjalan dan melihat setiap satu bangunan sambil gelas kopi di tangan bagi memberikan suasana seorang peneroka yang tenang. Kalian dijemput oleh Robert untuk masuk ke dalam setiap bangunan tersebut dan anda akan perasan bahawa ruang di dalamnya terlalu janggal, namun demi sikap santun seorang tetamu, anda akan terima segala rasa yang wujud dari ruang tersebut. ‘What a unique ambiance!’ anda kata dalam hati. Dia angguk di depan dengan muka bangga, seolah dia boleh dengar apa yang kalian kata. Tiba-tiba dalam masa beberapa minit, satu benda di luar jangkaan berlaku. Contohnya sebuah siling atas yang tiba-tiba terkoyak dari tengah dan sisinya terbakar sendiri, atau, tangga spiral dalamnya berderai dan runtuh ke atas menentang graviti. Anda rasa ianya masuk akal kerana sedar akal Robert tak masuk akal. Berlainan dengan Robert yang akan pandang anda dengan muka tegas, berubah serta-merta sambil kata, ‘get out!’ sebelum esoknya dia panggil anda untuk datang kembali dengan jemputan yang meriah."
— Ruang Akal Robert