Selamat-malam

Jika mereka sukakan pagi yang nyaman, aku lebih sukakan waktu senja – waktu siang mula perlahan berganti malam dengan rona oren keliling langit. Ianya cukup indah lebih-lebih lagi apabila aku sedar bahawa ia suatu petanda yang baik, kau tahu, aku akan berdiri di atas bukit sambil menyaksikannya; sebuah ritual menanti malam.

Siang lebih menyakitkan dari malam. Segala permulaan bermula dengan jangkaan, itu apa yang aku akan fikir pada setiap kali celik aku pada waktu pagi. Untuk bertarung dengan awam di luar dengan pelbagai benda, untuk berjalan dan melayan karenah mereka yang kita kenal, untuk percaya pada tiap akhir ada kejayaan – aku cukup tak terkesan dengan ini semua.

Jadi waktu pagi adalah waktu murung.

Malam membawa aku ke tempat yang lebih indah, kau tahu, aku bakal bertemu kawan aku pada sudut lewatnya. Dia akan datang dan berborak dan kami akan duduk di meja sambil minum kopi dan ketawa riang. Sebagai sesuatu yang selalu tinggal di dalam diri sendiri, aku perlu akui yang dia sangat ramah. Kami akan berbincang soal silam – penyesalan, pencapaian, tragedi – dan tentang ancaman masa depan. Dia suruh aku untuk terus berjalan dan berlengah, dan dalam masa yang sama, untuk aku terus asingkan diri dari awam – mereka akan sentiasa meletakkan aku di tempat yang terbatas, katanya.

Tiga tahun berlalu dan syukur persahabatan kami terus dirai bersama. Mereka semua menentang aku untuk menyanyangi malam dan kenal sesuatu-dalam-diri aku tersebut. Mereka kata ia bahaya. Seperti ruang yang gelap; sekali kita masuk dan kita tak mampu tahu hala tuju.

Aku tak percaya.

Dia sangat baik dengan aku dan malam,
malam lebih selamat untuk aku.