Pasir

Ada gadis yang sering saya pandang melalui lorong rahsia yang tak ada seorang awam pun berani jalan melaluinya. Lorong tersebut berkaca pada permukaan lantai, berduri penuh pada dinding dan bebas dari sebarang cahaya terang yang meyakinkan. Saya mula perasan dengannya sejak masih muda – akal dan hati saya lebih suka meneroka ceruk terjauh dan keinginan saya ini barangkali dijawab dengan harapan yang gemilang. Kami bertentang mata dan dia senyum. Saya di hujung sini dan dia di hujung sana. Saya sering memikirkan bagaimana dia mampu hidup bersendirian, anda tahu, barangkali dia terlalu lali dengan perasaan sunyi dan akhirnya dia sendiri tak mampu ertikan rasa sunyi tersebut. Seperti seekor burung yang dikurung dalam sangkar dan diletakkan di atas gunung tertinggi. Kerana terlalu biasa dengan rakannya yang bebas, ia sudah tak kisah dengannya.

Setahun kemudian saya ambil keputusan untuk berjumpa dan berbual dengannya. Saya memakai but kulit tebal, sarung tangan kulit gelap dan bawa payung besi bersama melalui lorong gelap itu tadi. Perasaan cukup menekan, seperti anda tak akan tahu apa yang anda sedang lakukan tetapi saya perlu cekal dan hadapi ini semua demi berjumpa dengannya. Beberapa luka di lengan dan akhirnya saya sampai di sana.

Dia memandang teruja – seperti tuan rumah menyambut tetamu.

Dia berlari ke arah saya dan mendakap erat. Saya membalas dengan dakapan yang lebih erat, apabila memikirkan selama ini dia terlalu bersendiri dan saya datang untuk menemaninya. Perlahan dalam beberapa saat, wajahnya berubah menjadi coklat keemasan dan tangan saya melepasi tubuhnya – dia menjadi bebutir pasir yang tebal sebelum menggelongsor melalui celah jari saya dan bersatu dengan lantai. Saya merenung pelik ke arah dia, pasir tersebut dengan akal yang bingung dan hati yang tak puas hati. Apakah ini saja hasilnya? Ia terlalu palsu dengan harapan liar yang saya bawa dari hujung sana tadi.

Saya bersihkan baju saya dari sisa pasir tadi dan berpaling pergi. Hati saya beritahu untuk berhenti dan bina istana dari pasir tersebut tetapi akal saya menentang dengan menyuruh saya kembali ke tempat asal.

Saya letakkan sarung tangan gelap saya di atas pasir tersebut dan kembali pulang.