Dia pernah beritahu saya sesuatu tentang masa yang ia terlalu anjal dan manusia punya kuasa untuk membentuknya secara peribadi. Saya tergamam dengan kenyataan tersebut – bukankah masa itu bergerak mengikut detik piawai yang dipersetujui oleh sejagat? Dia hanya senyum dan geleng kepalanya secara perlahan dengan mata yang cukup misteri dan lesung pipit yang manis – seolah soalan saya merupakan suatu lawak yang agung.
Jadi saya ambil masa untuk mendengar (itu apa yang saya sering lakukan, saya seorang pendiam) dengan tekun dan berharap diri ini dapat belajar sesuatu.
Dia berkata masa ini merupakan sebuah konsep tentang ideal manusia, sepertimana ia telah ditempa sebagai arus mengikut detik dan perjalanan kita melalui garisannya hanya dalam satu arah; kita tak mampu berundur dan berpatah balik ke masa sebelum. Itu suatu yang logik, saya bilang. Dia angguk dan menyambung, tetapi mereka tak pernah beritahu dalam ideal mereka tersebut tentang bagaimana ianya boleh berhenti secara maya, boleh berpatah balik dengan kepercayaan – seperti kepercayaan kita terhadap kuasa tertinggi yang menyusun atur segala kehidupan dan alam semesta, seperti kepercayaan manusia tentang malaikat dan seperti kepercayaan manusia tentang kehidupan selepas mati; ia masih boleh dibentuk melalui individu dengan akal dan hati.
Saya diam dan sambung mendengar. Gelak asing dari luar menjadi senyap, seolah mereka mampu dengar perbualan kami dan terpaku dengan apa yang dia sedang nyatakan ini.
Bagi mereka yang melalui tragedi terdahsyat dalam hidup, masa bakal menjadi cangkuk yang tercucuk di tengkuk mereka. Bagi mereka yang sedang meraikan bahagia, masa seperti udara yang berikan udara untuk mereka bernafas. Bagi mereka yang sedang bingung dengan diri sendiri, mereka tak pasti apakah masa itu sebenarnya, dan bagi ahli falsafah yang sibuk mempersoalkan kewujudan zat kita sendiri di dunia ini, barangkali mereka sendiri sibuk mempersoalkan konsep masa dengan skeptikal yang lebih pelik dari semua orang lain.
Mereka semua kuat berfikir dan ia tak masuk akal, saya gelak sinis.
Mungkin tak masuk akal bagi kita yang sedang menyusur pengalaman hidup masing-masing, dia balas, kita tak mampu tahu bagaimana masa melayan mereka semua sekali gus. Kita masing-masing ada kawan yang suka duduk di bilik pada waktu siang dan elakkan bertemu awam di luar, bagaimana kita rasa mereka fikir tentang masa? Satu lagi, kita ada kawan yang menyesal dari perbuatan lama yang membentuk dirinya hingga ke hari ini – bagaimana masa bagi mereka pula?
Saya menguap. Dia abaikan laku saya tersebut.
Kerana masa meletakkan kita dalam bekas ciptaannya sendiri, dalam aturan yang dibina. Keinginan manusia buatkan kita cuba untuk mencari ruang dalam tempat dan ceruk yang tak masuk akal dan percayalah, mereka akan lentur sesuatu fakta, kebenaran hinggalah ia menjadi benda yang ramah dengan anggota dan jiwa mereka sendiri.
Dia pandang saya dengan reungan tajam, mulut tersenyum ramah sebelum menyuruh saya untuk fikirkan masa-masa aku dan kesannya.
Saya tertidur pada ayat akhirnya tersebut dan kembali bangun pada waktu yang sama, malam yang lain.