“Let see,” Yun pandang langit malam, “lepas semua dari kita lenyap, apa yang berlaku?”
Aku diam dan dengar. Selalunya dia akan panggil aku untuk teman dia di bumbung apartmen sini bila waktu yang menekan, kau tahu, seperti waktu dia dan aku ada masalah masing-masing. Dia pernah katakan yang kami melengkapkan antara satu sama lain. Aku angguk setuju mendengar. Perspektif kami selalunya berbeza dan menentang suatu sama lain maka sebab itu ia menyenangkan kami – kami ialah musuh yang seronok melihat kelemahan dan belajar dengan diri masing-masing.
“Maksud kau?” Aku duduk bersila di belakang.
“Maksud aku… Nanti kita akan mati dan apa yang kita akan tinggalkan lepastu? Setiap dari kita mencipta dunia ini dengan apa-apa perinci yang kecil. Sama ada kita sedar atau tak, setiap gembira atau sedih kita beri kesan pada mereka sekeliling. Kau nak tak terus kekal dalam memori orang lain? Atau, well kau tahu, lebih senang untuk mereka terus lupakan kau?”
“Hm aku tak pasti. Dalam sesetengah mereka, aku nak diorang terus ingatkan aku. Dalam masa yang sama ada yang aku nak mereka terus lupakan aku. Banyak benda tak bagus aku buat kat mereka sebelum ni.”
Dia pusing ke arah aku dan bersandar pada hujung sisi tembok bumbung. Sikunya diangkat menyokong bahagian atas badan. Mukanya penuh dengan riak penat dan demi tuhan aku mampu nampak debu murung pada udara yang mengelilinginya.
“Jadi kau nak orang ingat dengan kebaikan kau je?” Dia balas perlahan, tajam.
Aku geleng teragak, “aku maksudkan untuk orang ingat aku pada sumbangan. Bukan terus maki aku walaupun aku dah takde.”
“Macam mana kalau kau tak pernah sumbang apa-apa kat mereka? Selalunya benda baik ni yang orang akan cepat lupa berbanding celaka yang pernah kita buat kat mereka.”
“Well aku stick kat pantun tradisional; budi yang baik dikenang jua.”
Dia gelak paksa, aku pasti, sambil angkat tangan kanan dan kesat matanya yang berair. Ada sesuatu yang aku tak faham dan tak akan faham dengan dia. Yun lebih jauh memandang dari kawan aku yang lain. Dalam poketnya ada teropong fikir barangkali. Teropong tersebut yang buatkannya lebih takut dengan esok berbanding hari ini. Aku pernah beritahu dia yang untuk takut esok tak lain akan buat diri kita lemah untuk berusaha pada hari sekarang dan macam biasa, dia buat muncung comel menentangnya itu.
“Aku nak orang terus lupakan aku,” dia balas perlahan, “macam mana aku pernah ada dalam bahagian hidup diorang, aku tak rasa untuk ingat aku merupakan benda yang bagus. Contohnya macam waktu aku dengan Abu dulu. Dia pernah teks aku waktu malam dan berterima kasih pada aku sebab aku banyak mengajar dia waktu kami gagal untuk bersama dulu. Sama ada aku bersyukur atau benci, itu aku tak pasti. Aku tak balas teks tu walaupun aku dah taip pergi mampuslah kau dah ada orang lain, dah bahagia bolehlah cakap macam ni kat aku!”
“So sekarang ni soal Abu?”
“Abu hanya susuk yang pernah ada dalam hidup aku. Lama-lama dia akan hilang, masa dah cipta peraturan macam tu. Apa yang aku nak cakap kat sini, aku lebih rela untuk orang tak pernah anggap dia pernah jumpa dengan aku, tak pernah bercakap dengan aku, tak pernah kenal aku. Kalau dalam hidup mereka ada A, B, aku, dan D, dia akan buat memoir tentang A, B dan D sebab dia tak boleh ingat dan tahu pasal aku.”
Aku ambil masa beberapa minit untuk cerna katanya tersebut. Ia cukup bingung, lebih-lebih lagi dengan emosinya yang seperti ribut tenang dan lembut; tak faham.
“Jadi malam ni biar kita raikan persahabatan kita sekarang. Sebelum esok dan masa depan, kita semua akan hilang dalam diri masing-masing.”
Dia sambung berkata dan melangkah ke aku, sebelum duduk sebelah dan baringkan kepalanya ke bahu aku. Aku dapat rasakan air matanya menitik ke bahu dan aku simpulkan untuk tak membalas apa-apa pada waktu tersebut. Lebih baik biarkan dia berenang dalam emosinya dan kehadiran aku sebagai tugu untuk mendengar – bersimpati pada musuh yang sedang berada dalam keadaan terbawah dan terhina.