Dia pandang lilin tersebut — berdiri rapi atas meja kopi di sudut, cahaya kelam tanpa sebarang objek untuk ketara memantul sekeliling — dengan keadaan yang seronok. Ada sesuatu yang sayu tentang rasa di udara sekitar dengan beberapa makhluk bayangan yang sering menyanyikannya lagu malam yang syahdu. Di antara dia dan cahaya lilin tersebut hanya ada memori sebagai dinding pemisah dan pada permukaan ratanya terdapat imej silam yang dia sering laungkan dalam senyap, kau tahu, ketika dia gelak bersama rakan yang lain, ketika dia menyakat adik kecilnya, ketika dia senyum meraikan awam sekitar.
Aku hanya berdiri melihat dari alam yang lain. Meneliti gerak seorang pejuang yang cukup pakar dengan kekalahan.
Dia pernah mencuba sekali untuk angkat senjata dengan syair-sajak perang yang dilaungkan oleh mereka semalam. Dia pernah berpijak atas medan yang pada hujung ufuknya tertutup segala kemungkinan tentang masa depan. Dia pernah merangkak demi titis semangat yang masih lagi mengalir dalam darah sebagai sisa hujung — semangat terakhir yang panggilnya untuk berdiri.
Namun dia sedar beberapa tahun kemudian selepas beberapa kali jatuh — apa dirinya sentuh pasti akan layu dan mati.
Maka malam ini persis ritual untuk memisahkan dirinya dengan semalam kerana beban itu bukan lagi benda yang mampu dipukul atas bahu dengan muka selamba. Lilin dibakar demi melihat kembali cahaya semalam yang terang dan membandingkan dirinya dengan sekarang yang lebih pudar. Satu perkataan mudah yang keluar dari lopong mulut, bermula dari getaran berat pada kerongkong; letih, katanya.
Kerana untuk cuba dan mencuba, dan mencuba sekali lagi bukan atas kuasa seorang manusia. Dia pernah bersujud dengan seluruh jasad melayang mengikut arus takdir namun apabila dia melakukannya, dia mula hilang dalam makna dirinya sendiri. Apakah manusia perlu berikhtiar dengan segala kudrat sebelum keputusannya menyakitkan?
Aku berpaling untuk mengelak ritual tersebut, kau tahu, kerana aku tahu di mana aras aku. Aku boleh pergi ke sisinya dan gelak sekuat mungkin sebelum bicara sesuatu tentang perbandingan gelap masing-masing. Antara dia dan aku, mana lagi sakit? Parut mana lagi teruk? Antara terjun bangunan dan digilis keretapi, mana lagi sakit? Cara aku mati dan mereka, mana lagi mulia? Antara hijau dan biru, mana lagi layak disebut sebagai warna?
Aku ingin beritahu dia untuk jadi kuat namun dia tak akan faham. Untuk mencari bahagia dan untuk lali dengan sakit (kerana terlalu biasa mengiakan kekalahan) adalah dua benda berbeza. Bagaimana kita ingin selamatkan mereka yang tak ingin diselamatkan?