Saya sentiasa berperang dengan rasa dalam diri apabila datang waktu keramaian yang sangat sesak. Beberapa rupa yang saya sering lihat sejak dari kecil, si asing yang kemudiannya mula perlahan-lahan melambai dengan senyuman yang ikhlas - saya terperangkap dalam bekas ramah yang janggal. Ini bukan soal saya yang sering mendiamkan diri dan selalu duduk di sudut hujung dengan pinggan pasta, air manis dan telefon di tangan - ia lebih dari itu. Kewujudan saya diraikan seperti biasa tanpa ada seorang pun yang menentang.
Jadi saya tertanya, di mana datang rasa tak seronok ini?
Mungkin kerana saya selalu meraikan sepi dengan bersendiri, mengelak dari terlibat dalam dunia dan semesta orang lain - sama ada awam rawak atau keluarga sendiri. Dunia saya terlalu kecil untuk turut bersama mengelilingi orbit mereka. Saya tak ada kisah agung yang boleh ditaruh untuk perhatian, tak ada juga tragedi yang menghancurkan diri demi cebis simpati.
Saya sederhana, normal dan bosan.
Kawan saya pernah beritahu, dalam pedih saya meraikan bersendiri, (hingga kesannya seperti sekarang) saya cukup beruntung. Sepi saya diraih diri saya seorang, dicipta saya seorang. Ada mereka yang diluar sana hidup terikat dengan rasa cinta/kasih/sayang yang dikerumuni orang-orang terdekat namun mereka masih sepi. Seperti terpaksa hidup dalam keadaan indenial sepanjang masa dengan solekan gembira sebagai alat membaiki rupa murung mereka yang tersembunyi.
Saya beruntung. Saya patut bersyukur.
Jadi apabila saya pandang mereka yang sedang berbual meraikan awam, saya akan cuba melihat mata mereka - kerana pada pandangan sana, jiwa mereka lebih terdedah dan jika mereka seperti saya yang sepi, saya cukup simpati pada pertarungan mereka.